AM

PROJEK ECRL 'GAME CHANGER' KEPADA MALAYSIA, 67 PERATUS TELAH SIAP

19/06/2024 06:04 PM

Oleh Hasnah Jusid

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Kerja-kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer berjalan lancar dengan 67 peratus pembinaannya telah siap sehingga kini, walaupun di peringkat awal pembangunan dan pelaksanaannya, ia berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Dengan hasrat meningkatkan ketersambungan dan merangsang pembangunan ekonomi, projek merentasi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor itu disasar menjadi ‘pengubah keadaan’ (game changer) kepada ekonomi terutama dalam meningkatkan rangkaian pengangkutan Malaysia, khususnya di pantai timur dan barat negara.

Projek infrastruktur mega yang menjadi bukti hubungan dua hala kukuh antara Kuala Lumpur dan Beijing ini dijangka siap menjelang akhir 2026. 

Projek bernilai RM50.2 bilion menampilkan laluan yang menghubungkan pantai timur dan barat negara merentasi 20 stesen itu mencatatkan satu lagi peristiwa penting hari ini dengan penyempurnaan majlis pecah tanah bagi Stesen Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) ECRL Gombak oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China Li Qiang yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia.

Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd Tan Sri Mohd Zuki Ali memberitahu Bernama kehadiran Li Qiang di majlis itu mencerminkan kekukuhan hubungan dua hala antara dua negara yang telah lama wujud, yang memastikan kejayaan pelaksanaan projek di bawah Inisiatif Belt and Road (BRI) diterajui Beijing itu.

“Ia merupakan majlis pecah tanah pertama projek ini di Selangor dan juga menandakan titik permulaan pembinaan stesen pertama bagi laluan ECRL di Selangor, yang akan mempunyai lima stesen,” katanya.

"Stesen ini akan berfungsi sebagai pintu masuk utama ke ibu kota, memudahkan perjalanan pengguna ECRL dari Lembah Klang ke negeri-negeri Pantai Timur. ECRL juga akan disambungkan ke Laluan LRT Kelana Jaya di Terminal Bersepadu Gombak, menyediakan rangkaian yang lebih baik dan kapasiti penumpang yang lebih besar.

“Laluan ECRL dari Kota Bharu ke Gombak dijangka siap pada penghujung 2026 dan beroperasi pada Januari 2027. Masa perjalanan antara Kota Bharu ke Lembah Klang dijangka sekitar empat jam, berbanding tujuh jam atau lebih melalui jalan darat semasa musim perayaan. Secara keseluruhan kemajuan projek ECRL berada pada 67 peratus,” katanya. 

April lepas Menteri Pengangkutan Anthony Loke memberitahu media bahawa rangkaian ECRL di Selangor yang menjangkau jarak hampir 120 kilometer, akan mempunyai lima stesen iaitu Terminal Bersepadu Gombak, Kapar dan Jalan Kastam untuk penumpang sahaja, manakala stesen Bandar Serendah dan Puncak Alam sebagai stesen penghubung untuk penumpang dan kargo.

Fasa pembinaan untuk projek ECRL bermula dengan majlis pecah tanah di Kuantan pada Ogos 2017, namun kerja-kerja itu digantung pada 2018 atas sebab kewangan sebelum ia disambung semula pada Julai 2019 dengan kos yang lebih rendah.

ECRL menghubungkan ibu negeri, pusat bandar utama, hab perindustrian, pelabuhan, lapangan terbang dan zon pelancongan serta pertukaran dengan laluan kereta api sedia ada di Semenanjung Malaysia.

Projek infrastruktur mega itu dimiliki oleh MRL, anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan), manakala China Communications Construction Company (CCCC) bertindak sebagai kontraktor utama untuk projek itu.

Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) Prof Madya Ts Dr Wan Mazlina Wan Mohamed memberitahu Bernama bahawa ECRL adalah projek infrastruktur negara yang penting untuk meningkatkan pembangunan wilayah, ketersambungan dan menambah baik transit awam merentasi rangkaian kereta api elektriknya, menghubungkan kawasan bandar dan luar bandar.

“Ia juga mengurangkan pencemaran alam sekitar dengan beralih daripada penggunaan kenderaan berasaskan bahan api kepada rangkaian rel elektrik dan menyediakan mod pengangkutan awam alternatif selamat untuk perjalanan jarak jauh,” kata Wan Mazlina.

Sementara itu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz pada Mac lepas berkata ECRL berfungsi sebagai pemangkin pertumbuhan sosioekonomi dan dijangka meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia sebanyak 3.78 peratus menjelang 2047.

“ECRL bersedia untuk menjadi ‘pengubah keadaan’ bagi Malaysia, menghubungkan kita dengan lebih rapat kepada rangkaian kereta api Pan-Asia dan meningkatkan ketersambungan kita dengan rantau Asean dan Eurasia,” kata Tengku Zafrul dalam ucaptama pada Seminar Laluan Rel Pantai Timur – Projek Pemecut Ekonomi (ECRL–EAP) Peluang Perniagaan dan Pelaburan, baru-baru ini.

Sementara itu Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata apabila disiapkan, projek ECRL akan memberi manfaat, antaranya kepada sektor hartanah berikutan kesan pembandaran dan kenaikan harga hartanah.

April lepas Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata ECRL-EAP dijangka menjana RM1.4 trilion untuk ekonomi Malaysia menjelang 2047 dengan tumpuan kepada pembangunan taman-taman perindustrian, hab logistik dan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD).

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada April berkata ECRL-EAP dijangka menjana RM1.4 trilion untuk ekonomi Malaysia menjelang 2047 dengan tumpuan kepada taman-taman perindustrian, hab logistik dan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD).

“Memandangkan projek itu adalah yang terbesar pernah dilaksanakan di sepanjang penjajaran Pantai Timur, adalah sesuai untuk syarikat-syarikat merebut peluang yang timbul, dalam bidang yang boleh diterokai lebih lanjut termasuk tenaga boleh diperbaharui; produk dan perkhidmatan kemampanan; pusat pendidikan dan latihan,” kata MIDA.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan