AM

AGONG BERKENAN TERIMA MENGHADAP PM CHINA LI QIANG

19/06/2024 04:33 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap Perdana Menteri China Li Qiang di Istana Negara di sini.

Ketibaan Li pada kira-kira 3.30 petang turut diiringi Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing serta delegasi China.

Yang turut hadir pada sesi menghadap itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad.

Li tiba di Malaysia semalam bagi memulakan lawatan rasmi hingga esok dan ini merupakan kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak menyandang jawatan itu pada Mac 2023.

Lawatan beliau juga bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia – China susulan pemeteraian Kenyataan Bersama antara Tun Abdul Razak dan Chou En Lai pada 31 Mei 1974.

Dalam rangka lawatannya hari ini, Li dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri majlis makan malam bagi menyambut ulang tahun ke-50 hubungan dua hala antara dua negara dan sebelum itu, Li dijangka menghadiri majlis pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Gombak.

Perdana Menteri China itu turut dijadual menghadiri majlis makan tengah hari bersama komuniti perniagaan dari kedua-dua negara sebelum menamatkan lawatan rasminya ke negara ini, esok.

Pada 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009 dengan nilai dagangan RM450.84 bilion (US$98.90 bilion).

Hubungan Malaysia dan China semakin kukuh susulan peningkatan hubungan dua hala melalui Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2013.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan