AM

14 MOU/MOA DITUKAR ANTARA MALAYSIA DAN CHINA

19/06/2024 05:31 PM

PUTRAJAYA, 19 Jun (Bernama) -- Sebanyak 14 memorandum persefahaman, memorandum perjanjian (MoU/MoA), protokol dan kenyataan bersama melibatkan sembilan kementerian telah ditukar antara Malaysia dan China hari ini, disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China Li Qiang.

Pertukaran dokumen itu dalam lawatan rasmi Li ke Malaysia, yang juga merupakan lawatan pertamanya ke negara ini sebagai Perdana Menteri, bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Beliau berada di sini untuk lawatan rasmi selama tiga hari mulai Selasa.

Sembilan kementerian itu ialah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI); Kementerian Kewangan; Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT); Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Komunikasi.

Untuk MITI, pertukaran dokumen melibatkan dua MoU, untuk mengukuhkan kerjasama pelaburan dalam ekonomi digital dan menggalakkan kerjasama pelaburan dalam pembangunan hijau.

Selain MoU tersebut, Malaysia dan China turut memeterai kitaran kedua program lima tahun Malaysia-China untuk kerjasama ekonomi dan perdagangan bagi meningkatkan lagi hubungan antara industri dalam sektor-sektor yang menjadi keutamaan seperti pembuatan peringkat tinggi dan ekonomi digital.

Program itu juga akan meningkatkan kerjasama dalam bidang robotik, pembangunan usahawan, inovasi dan syarikat pemula niaga, selain penyelidikan dan pembangunan dalam pertanian dan industri utama.

Bagi Kementerian Komunikasi, dua MoU telah ditukar. MoU pertama dengan China Media Group mengenai kerjasama dalam bidang media manakala MoU kedua untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang pos antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan China State Postal Bureau.

Di bawah Kementerian Kewangan, pertukaran dokumen melibatkan kenyataan bersama mengenai tetingkap tunggal kebangsaan untuk inisiatif perdagangan rentas sempadan manakala di bawah KPT, MoU adalah mengenai kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi.

Di bawah MOSTI, MoU mengenai program pertukaran rakyat kepada rakyat sains dan teknologi serta di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pertukaran MoU untuk bidang perumahan dan pembangunan bandar. 

Terdahulu, kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan tertutup untuk membincangkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Seterusnya, Anwar meraikan rakan sejawatannya itu, Li dalam majlis makan tengah hari di Seri Perdana di sini.

Li turut dijadual menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini.

Anwar dan Li juga akan menghadiri majlis pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Gombak dan mengakhiri jadual mereka hari ini dengan menghadiri majlis makan malam untuk ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.

China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009. Tahun lepas, jumlah perdagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (US$98.80 bilion), menyumbang 17.1 peratus daripada perdagangan global Malaysia.

Hubungan diplomatik antara kedua-dua negara telah terjalin melalui penandatanganan Kenyataan Bersama oleh Perdana Menteri kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China pada masa itu Chou En Lai pada 31 Mei 1974.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan