AM

VAN PERANTARA PERCUMA SEMPENA SIDANG PARLIMEN DARI 24 JUN-18 JULAI

19/06/2024 03:56 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Bersempena pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat, Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan mengoperasikan perkhidmatan van perantara (T851) percuma antara KL Sentral dan Parlimen bermula 24 Jun hingga 18 Julai.

Rapid Bus dalam kenyataan memaklumkan perkhidmatan T851 itu adalah perkhidmatan alternatif demi kemudahan dan kelancaran perjalanan bagi mereka yang mempunyai urusan di bangunan Parlimen, selain mengelakkan kesesakan ruang meletak kereta di pekarangan Parlimen.

“Perkhidmatan ini juga memberi peluang kepada pengguna untuk merancang masa perjalanan mereka.

“Rapid Bus menjemput semua pihak yang mempunyai urusan di bangunan Parlimen untuk memanfaatkan perkhidmatan van percuma ini,” menurut kenyataan itu.

Perkhidmatan van percuma ini akan beroperasi dari Isnin hingga Jumaat bermula 7 pagi hingga 8 malam dengan kekerapan setiap 30 minit pada waktu puncak (7 pagi hingga 11 pagi/4 petang hingga 8 malam) dan setiap 60 minit di luar waktu puncak mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Menurut Rapid Bus van perantara itu akan mengambil penumpang di Balai Pelepasan ERL KL Sentral dan dari Taman Botani Perdana (berhampiran tempat letak kereta bertingkat) untuk ke bangunan Parlimen, meliputi laluan sepanjang lima kilometer dan mengambil masa 15 minit.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan