AM

KORBAN PERDANA KUMPULAN FELDA TUMBANG 21 LEMBU

19/06/2024 02:10 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Sebanyak 21 ekor lembu dikorbankan pada program Korban Perdana Kumpulan Felda yang diadakan di pekarangan Anjung Felda, hari ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata daging korban itu akan diagihkan kepada empat institusi asnaf, masyarakat setempat dan kakitangan kumpulan Felda yang terlibat.

“Saya bangga atas kerjasama yang ditunjukkan warga Felda dalam bersama-sama meraikan ibadah korban sebanyak 21 ekor lembu, iaitu sumbangan dan penyertaan pelbagai pihak termasuk anak syarikat kumpulan Felda iaitu FGV Holdings Bhd. 

“Suasana ini begitu meriah, 200 kakitangan kumpulan Felda terlibat termasuk proses melapah. Program seperti ini mengukuhkan hubungan sesama kami di Felda, seterusnya dapat memanfaatkan masyarakat sekitar,” katanya pada majlis Korban Perdana Kumpulan Felda di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Sementara itu, Shamsul Iskandar berkata program pada hari ini yang melibatkan semua agensi di bawah Felda, menunjukkan semangat gotong-royong dalam kalangan semua kakitangan.

“Keberadaan Felda adalah untuk memastikan program pembangunan masyarakat dapat berjalan dengan teratur, selaras dengan apa ditegaskan Perdana Menteri dari aspek Malaysia MADANI.

“Jadi hari ini kita lihat ada program yang menjurus ke arah membina masyarakat Malaysia MADANI dari aspek kesejahteraan, hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata program seperti ini perlu disemarakkan dari semasa ke semasa dan berharap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) atau agensi lain, dapat mencontohi gerak kerja atau semangat kerja berpasukan ditonjolkan Felda.

Shamsul Iskandar dalam pada itu turut mengajak orang ramai untuk hadir ke Hari Peneroka Felda 2024 yang akan diadakan dari 12 hingga 14 Julai bertempat di MAEPS, Serdang.

“Kita harap penyertaan dari semua, maksudnya dari semua kelompok masyarakat bukan sekadar komuniti Felda tetapi biarlah rakyat tahu komuniti Felda kita ini berkembang dengan sangat baik dan manfaatnya itu dapat dirasai semua masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan