AM

PROGRAM KESEDARAN PENGGUNAAN AI SECARA BERTANGGUNGJAWAB PERLU DIPERTINGKAT

18/06/2024 08:36 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Program kesedaran masyarakat terhadap penggunaan kecerdasan buatan (AI) perlu ditingkatkan supaya teknologi itu dapat digunakan secara positif dan bertanggungjawab.

Pempengaruh teknologi Adil Hidayat Rosli berkata kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif AI yang baik dan ia sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya.

“Mungkin kita boleh meningkatkan lagi kesedaran untuk menggalakkan penggunaan dan penerimaan AI secara positif,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.

Komitmen kerajaan dalam memupuk ekosistem AI jelas terlihat melalui pelbagai inisiatif seperti 'AI Untuk Rakyat' yang bertujuan meningkatkan kesedaran awam berkaitan teknologi itu serta AI Sandbox 2024 bertujuan mewujudkan 900 syarikat pemula AI dan membangunkan 13,000 bakat baharu AI menjelang 2026.

Pada 10 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan tiga lagi inisiatif tambahan iaitu Hala Tuju Bakat AI Malaysia 2024-2030, Fakulti AI (FAI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Konsortium AI Malaysia (MAIC).

Adil Hidayat yang lebih dikenali dengan nama Pendakwah Teknologi dalam media sosial berkata AI antara lain mampu membantu pencarian maklumat lebih mudah, namun boleh mengurangkan keupayaan manusia berfikir secara kreatif dan analitikal jika disalahgunakan.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka tidak menyalahgunakan AI untuk mendapatkan jawapan dengan cara yang mudah kerana ia boleh menghilangkan proses pembelajaran yang sebenar.

“Kita perlu memahami bahawa setiap pelajar perlu melalui proses pembelajaran. Mereka harus menyedari bahawa melakukan kesilapan adalah sebahagian daripada proses itu,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan