AM

RUU PEMERANGKAPAN, PENGGUNAAN DAN PENYIMPANAN KARBON TIDAK TERPAKAI KEPADA SABAH

18/06/2024 08:01 PM

KOTA KINABALU, 18 Jun (Bernama) -- Rang undang-undang pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) yang akan dibentang di Parlimen pada akhir tahun ini adalah tidak terpakai kepada Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri itu berkata ini kerana terdapat pemisahan yang jelas dalam bidang kuasa di bawah Perlembagaan iaitu isu membabitkan tanah dan hutan adalah perkara Negeri di bawah Senarai Negeri dan bidang kuasa kerajaan Sabah. 

Beliau berkata Sabah telah menandatangani perjanjian yang diperlukan bagi menjana sumber pendapatan baharu untuk negeri daripada jualan kredit karbon di kawasan hutan tropika seluas 2 juta hektar dan pada masa sama, bertindak memeliharanya.

“Ia bukan sahaja memelihara hutan hujan tetapi juga menyediakan dana serta peluang yang amat diperlukan untuk Orang Asli di Sabah dan pada masa sama, mematuhi kebanyakan daripada 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“(SDG) Ini termasuk sifar kemiskinan, kesaksamaan jantina, air bersih dan sanitasi, kerja yang baik dan pertumbuhan ekonomi, mengurangkan ketaksamaan, melindungi serta menggalakkan ekosistem mampan, hutan dan menghentikan kehilangan biodiversiti,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Pada 21 Mei lepas, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kementeriannya telah membentangkan memorandum kepada Kabinet untuk membuka laluan ke arah rangka kerja perundangan yang komprehensif mengenai inisiatif CCUS.

Jeffrey berkata melalui program pengurangan karbonnya sendiri, Sabah sudah maju dan berada di kedudukan yang baik untuk memikul tanggungjawab bagi potensi kredit karbon di bawah undang-undang tanah dan perhutanan negeri itu sendiri dengan atau tanpa cadangan undang-undang baharu CCUS.

“Sabah dalam proses menggubal undang-undang pemerangkapan dan penggunaan karbonnya sendiri serta mengemas kini Enakmen Hutan 1968 termasuk menjadikan karbon sebagai hasil hutan,” katanya.

Beliau berkata manfaat sosioekonomi program kredit karbonnya adalah selaras dengan visi negeri itu untuk membangunkan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025.

Timbalan Ketua Menteri itu juga berkata pendirian Sabah adalah selari dengan Sarawak bahawa tiada keperluan untuk CCUS diperluas ke negeri-negeri di Kepulauan Borneo dan ia telah dimaklumkan kepada mesyuarat Majlis Perubahan Iklim Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada Jumaat lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan