AM

MALAYSIA-CHINA AKAN METERAI MOU DALAM BIDANG PERUMAHAN - NGA

18/06/2024 02:13 PM

PUTRAJAYA, 18 Jun (Bernama) -- Malaysia dan China bakal memeterai memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang perumahan, perancangan bandar dan bandar pintar, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Dalam kenyataan hari ini, Nga berkata pertukaran MoU antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar-Luar Bandar China itu akan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri China Li Qiang ke Malaysia dari Selasa hingga 20 Jun.

Susulan pemeteraian MoU itu, Nga berkata kedua-dua negara dijangka meneroka potensi kerjasama dalam perumahan pintar, pembangunan semula bandar, mobiliti bandar, daya huni bandar, kemampanan bandar dan pemprofilan.

Kedua-dua negara turut dijangka meneroka penyelesaian dan perkhidmatan pintar untuk pengoperasian dan pengurusan bandar; pembinaan dan pengubahsuaian pintar; perkongsian mengenai pengiktirafan serta pensijilan bandar pintar.

“Melalui MoU ini, kedua-dua negara bakal memperoleh manfaat melalui perkongsian kepakaran dan amalan terbaik serta kerjasama dalam inisiatif dan projek berkepentingan.

“Pertukaran MoU dalam bidang perumahan serta pembangunan urbanisasi ini dilihat sebagai kerjasama strategik dan signifikan antara Malaysia dan China,” katanya.

Nga berkata negara juga berpeluang mendapatkan kepakaran dan terknologi terkini berkaitan perumahan serta pembangunan urbanisasi daripada China yang berpotensi meningkatkan nilai pelaburan negara, nilai pembangunan kasar serta mampu menjana ekonomi tempatan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Pada masa sama ia dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara dan mengukuhkan lagi hubungan dua hala sedia ada yang telah terjalin antara Malaysia dan China,” kata Nga.

Li yang dijadualkan tiba malam ini mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Dalam lawatan itu, Li akan mengadakan pertemuan dengan Anwar untuk membincangkan hal berkaitan hubungan dua hala antara Malaysia dan China serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan