DUNIA

KETUA PBB SERU HENTIKAN KEROSAKAN DI BUMI

18/06/2024 10:30 AM

NEW YORK, 18 Jun (Bernama-Xinhua) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Isnin menyeru tindakan segera bagi menghentikan kerosakan di Bumi dengan menyatakan hampir 40 peratus tanah di planet ini telah terjejas, lapor Xinhua.

"Keselamatan, kemakmuran dan kesihatan berbilion orang bergantung pada tanah subur yang menyokong kehidupan, mata pencarian dan ekosistem, tetapi kita sedang merosakkan Bumi yang menyokong kita.

"Tanah yang subur bukan sahaja membekalkan hampir 95 peratus sumber makanan tetapi banyak lagi.

“Ia menyediakan tempat tinggal, peluang pekerjaan dan mata pencarian serta melindungi masyarakat daripada kemarau, banjir dan kebakaran hutan yang semakin teruk,” kata ketua PBB dalam mesej video sempena Hari Alam Sekitar Sedunia bertemakan 'Land Restoration, Desertification and Drought Resilience' yang disambut setiap tahun pada 17 Jun.

Beliau menyeru kerajaan, ahli perniagaan, ahli akademik, komuniti setempat dan orang ramai untuk bersatu dan menghentikan kerosakan sempena Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini.

“Ia telah dinyatakan dengan jelas dalam Konvensyen PBB untuk Memerangi Kemusnahan Tanah (UNCCD). Semasa kita meraikan ulang tahun ke-30 konvensyen ini, dunia mesti mempercepatkan pelaksanaannya,” kata beliau.

Bagi menjayakan hasrat ini, beliau berkata terdapat keperluan membina momentum ke arah Persidangan Negara-Negara Pihak UNCCD (COP16) yang dijadual diadakan di Riyadh, Arab Saudi pada Disember 2024 dan memastikan suara golongan muda didengari dalam rundingan itu.

"Bersama-sama, mari kita semai benih masa depan yang subur demi alam semula jadi dan manusia," kata Guterres.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan