EKONOMI

MALAYSIA, CHINA MUNGKIN BINCANG PELBAGAI ISU UNTUK TINGKAT KERJASAMA EKONOMI -- PAKAR

18/06/2024 12:11 PM

Oleh Niam Seet Wei

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Malaysia dan China berkemungkinan membincangkan isu-isu berkaitan inovasi, keterangkuman, tenaga hijau serta komoditi untuk meningkatkan pelaburan dan kerjasama ekonomi semasa lawatan Perdana Menteri China Li Qiang ke Malaysia, kata pakar.

Li, yang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri China dalam Mac tahun lepas, dijadualkan tiba di Malaysia lewat hari ini untuk memulakan lawatan rasmi tiga hari beliau sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Lawatan Li adalah atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada pertemuan kedua-dua pemimpin itu, Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Dr Anthony Dass menjangkakan tumpuan kedua-dua negara adalah pada inovasi dan keterangkuman, yang akan menyokong rangka kerja MADANI termasuk mengukuhkan lagi hubungan perdagangan, pelaburan dan perkhidmatan.

“Melihat kepada rangka kerja MADANI, China boleh memainkan peranan penting kerana rangka kerja kami adalah sejajar dengan nilai serta prinsip yang dianjurkan pada 2013 di bawah Prinsip Perkongsian Komuniti China,” katanya kepada Bernama.

Manakala fokus Malaysia adalah untuk meningkatkan daya saing, kedudukan fiskal, tahap hutang, penyampaian perkhidmatan dan tadbir urusnya, perbincangan antara kedua-dua pemimpin dijangka tertumpu di sekitar kawasan ini bagi manfaat kedua-dua negara, katanya lagi.

Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China Datuk Abdul Majid Ahmad Khan berkata Malaysia-China telah menjalin hubungan yang sihat dan dinamik sepanjang lima dekad yang lalu, dibuktikan oleh catatan prestasi perdagangan kukuh sejak beberapa tahun lepas.

Beliau berkata selain memantapkan lagi hubungan sedia ada serta mengenal pasti sektor baharu untuk kerjasama, Anwar dan Li dijangka memudahkan pertumbuhan komoditi Malaysia, seperti minyak sawit dan produk berkaitan durian termasuk meningkatkan kerjasama teknologi, yang telah melonjak dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Bidang tumpuan baharu lain mungkin termasuk sektor aeroangkasa, komunikasi dan tenaga hijau,' katanya.

China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009. Tahun lepas, jumlah perdagangan dengan China mencecah paras RM450.84 bilion (US$98.80 bilion), menyumbang 17.1 peratus kepada perdagangan global Malaysia.

 

Perbincangan mengenai tenaga boleh baharu

 

Menyuarakan pandangan sama seperti Abdul Majid, Anthony berkata memandangkan Malaysia serta China giat melabur dalam teknologi bersih seperti tenaga suria, angin dan hidro, perbincangan mengenai tenaga boleh baharu mungkin akan diadakan untuk memanfaatkan teknologi hijau selain tumpuan kepada teknologi. 

“Perbincangan sebegini akan membantu kami mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, menangani perubahan iklim dan membuka peluang baharu,” katanya.

Beliau juga menjangkakan isu perdagangan serta pelaburan berkaitan elektrik dan elektronik (E&E) akan dibentangkan, kerana perkembangan dalam segmen itu akan mempunyai limpahan ekonomi merentas industri seperti E&E termasuk kenderaan elektrik (EV), yang menjadi strategi utama dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

“Bidang perbincangan lain adalah mengenai pusat data, infrastruktur, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perkhidmatan berkaitan digital, ketersambungan, nadir bumi, EV baharu serta bidang pertumbuhan masa depan,” katanya.

 

Malaysia, China akan memperdalamkan kerjasama ekonomi

 

Abdul Majid berkata selama ini Malaysia serta China telah menggunakan tiga platform utama iaitu Program Lima Tahun untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan, Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) serta Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China bagi memajukan dan memperdalamkan kerjasama ekonomi.

“Dalam lawatan Li, kandungan platform ini dijangka akan diperkayakan lagi untuk mengeratkan kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya.

Mengambil BRI sebagai contoh, sektor baharu seperti latihan kemahiran dan bidang yang boleh memberi kesan langsung kepada taraf hidup rakyat, boleh dimasukkan dalam inisiatif itu.

Lain-lain termasuk penekanan yang lebih besar pada pertukaran individu di kalangan badan pemikir, media dan institusi kebudayaan, katanya.

Abdul Majid percaya lawatan Li akan mengukuhkan lagi hubungan sedia ada antara Malaysia dan China.

“Terdapat banyak muhibah di antara kedua-dua pihak termasuk komitmen untuk mengeratkan lagi hubungan.

“Memandangkan pencapaian luar biasa pada masa sebelum ini dan manfaat bersama daripada hubungan itu , kami optimis bahawa hubungan Malaysia-China akan terus ditingkatkan dan diperkukuhkan pada masa depan,” katanya.

Namun begitu, Anthony mengingatkan bahawa perubahan dalam dinamik global serta serantau, termasuk peralihan kuasa ekonomi global, penjajaran semula geopolitik dan kebimbangan keselamatan serantau boleh mempengaruhi hubungan Malaysia-China.

“Sebagai contoh, industri berorientasikan eksport seperti E&E dan solar berpotensi menghadapi impak daripada ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat dan China.

“Di sini, kami perlu memberi tumpuan kepada kepelbagaian pasaran global untuk mengelakkan risiko penumpuan,” katanya.

Beliau ketika mengulas mengenai isu seperti tuntutan wilayah di Laut China Selatan menjelaskan Malaysia, seperti negara Asia Tenggara yang lain, harus terus mengimbangi kepentingan ekonominya dengan China sambil menjaga kedaulatan dan kestabilannya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan