JENAYAH & MAHKAMAH

EMPAT LELAKI TERMASUK REMAJA BAWAH UMUR DITAHAN BERKAITAN KES CULIK

17/06/2024 08:32 PM

JOHOR BAHRU, 17 Jun (Bernama) -- Polis menahan empat lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan 15 hingga 20 tahun berkaitan kes tiga remaja lelaki dilarikan sekumpulan lelaki dari sebuah pasar raya di Skudai di sini pada 15 Jun.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata penahanan dilakukan pada 8 malam semalam di Skudai, dan polis turut merampas kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan serta menjumpai semula barangan milik mangsa.

Beliau berkata permohonan reman terhadap keempat-empat suspek dibenarkan selama empat hari bermula 17 hingga 20 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 363, 324 dan 506 Kanun Keseksaan.

“Siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti motif kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam pada Sabtu lepas, ketiga-tiga mangsa dilarikan sekumpulan lebih kurang 10 lelaki yang seorang daripadanya dikenali oleh mangsa, dengan menggunakan tiga kereta ke sebuah lokasi yang tidak dapat dipastikan.

Balveer berkata suspek telah memukul dan merakam gambar bogel mangsa serta mengugut akan menularkan gambar terbabit sekiranya kejadian itu terbongkar.

“Suspek kemudian telah melarikan diri bersama-sama dengan barangan peribadi milik mangsa dan meninggalkan mangsa di lokasi yang sama,” katanya.

Beliau berkata mangsa yang cedera lebam di bahagian muka dan tangan berjaya diselamatkan dengan bantuan orang awam dan telah dihantar ke hospital bagi tujuan rawatan sebelum datang ke balai polis untuk membuat laporan pada 6.45 pagi semalamn.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan