EKONOMI

PROJEK GREEN PHARMA DI PERLIS DIJANGKA SIAP MENJELANG 2029

18/06/2024 12:23 AM

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- North Duchess Pharmaceuticals (NDP) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Allied Identity USA Group bagi membangunkan Projek Green Pharma di Perlis.

MoU itu ditandatangani oleh Pengasas merangkap Pengarah North Duchess Malaysia Sdn Berhad Tengku Syarif Temenggong Perlis Datuk Seri Syed Amir Abidin Ibni Almarhum Tuanku Raja Syed Putra Jamalullail dan Pengarah Urusan Operasi Asia Pasifik Allied Identity USA Group Steve Huffman. 

Ketua Pegawai Eksekutif North Duchess Malaysia Sdn Bhd Che Puan Temenggong Perlis Datin Seri Farinawati Mohd Din berkata projek itu, yang bakal dibangunkan di Lembah Chuping, memfokus kepada pengeluaran ubat untuk pesakit kencing manis, darah dan kolesterol tinggi tinggi disasar untuk disiapkan dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Inisiatif ini dijangka mewujudkan lebih 300 pekerjaan untuk profesional separa atau berkemahiran tinggi dan meneroka pasaran farmaseutikal Malaysia yang semakin berkembang, bernilai RM16 bilion pada 2023, menawarkan kadar pertumbuhan yang stabil iaitu 8 hingga 10 peratus setiap tahun, yang kekal berdaya tahan semasa kegawatan ekonomi.

"Fokus penghasilan penjagaan kesihatan mampan projek itu termasuk pembinaan kilang dos pepejal farmaseutikal patuh halal GMP di Perlis dan pengeluaran farmaseutikal yang diperakui halal bagi Kementerian Kesihatan dalam tempoh 36 bulan, dengan rancangan untuk pengembangan antarabangsa dalam tempoh 48 tahun," katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani MoU itu di sini semalam.

Che Puan Temenggong Perlis berkata projek itu bertujuan merevolusikan pembuatan farmaseutikal di Malaysia dengan mempelbagaikan asas ekonomi Perlis dan menjadi pemacu hasil yang ketara dalam tempoh 36 bulan pemerolehan.

Beliau berkata dari segi kewangan, projek itu diunjurkan menjana pendapatan sebanyak RM465 juta dalam tempoh lima tahun dengan unjuran keuntungan operasi sebanyak RM183 juta.

"Projek ini bukan sahaja mewakili pelaburan dalam infrastruktur malah komitmen untuk memajukan penyelesaian penjagaan kesihatan dan memenuhi permintaan untuk ubat yang semakin meningkat di negara kita dan komuniti global.

"Kami menyasarkan untuk menetapkan piawaian baharu dalam pembuatan mesra alam, memanfaatkan teknologi termaju untuk meminimumkan jejak alam sekitar kita dan menegakkan standard keselamatan serta kualiti paling tinggi," katanya.

Huffman pula berkata pasaran Malaysia sangat strategik dan berpotensi besar untuk mengeksport ubat-ubatan ke negara jiran seperti Kemboja, Thailand dan Filipina.

"Jadi kami ingin memastikan apa sahaja yang kami lakukan, kami sentiasa menjaga pasaran ubat-ubatan Malaysia tetapi pada masa sama, kami juga menyediakan peruntukan bagi membolehkan kami mengeksport dan mempelbagaikan aliran hasil bagi memastikan ia adalah mampan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan