AM

KPDN KERJASAMA DENGAN PIHAK BERKUASA BANTERAS PENYELUDUPAN DIESEL DI SEMPADAN

16/06/2024 04:25 PM

ARAU, 16 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia dalam usaha membanteras penyeludupan diesel di sempadan. 

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN Shamsul Nizam Khalil berkata KPDN akan menguatkan pemantauan di kawasan sempadan untuk mengelakkan berlakunya ketirisian diesel selepas penyasaran subsidi dilaksanakan bermula 10 Jun lepas.

"...kita percaya akan berlaku pengurangan (ketirisan diesel) dan kita bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menangani (isu) ketirisan itu terutama di sempadan. Sebab kita tahu, walaupun harga diesel naik tetapi masih murah berbanding negara jiran.

“Oleh itu, kita mesti pastikan kawalan kita diperketatkan,” katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan dan  pemantauan Ops Kesan 2.0 di sini hari ini yang turut disertai Pengarah KPDN Perlis Norazah Jaapar.

Mengenai Ops Kesan 2.0 itu, Shamsul Nizam berkata sebanyak 599 premis diperiksa di seluruh negara bagi tempoh 20 Mei hingga 14 Jun lepas dan daripada jumlah itu sebanyak 202 Notis Bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] dikeluarkan kepada peniaga terbabit.

“Statistik bagi Perlis sahaja sebanyak 24 premis diperiksa manakala sebanyak 14 notis dikeluarkan. Notis Bertulis ini dikeluarkan bertujuan mendapatkan maklumat awal berkaitan harga jualan dan kos barangan tertentu bagi melihat sama ada berlaku kenaikan harga atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata KPDN melanjutkan waktu pengoperasian Pusat Arahan Penguatkuasaan yang juga dikenali Enforcement Command Centre (ECC) dari 8 malam kepada 10 malam setiap hari supaya penyaluran aduan dan siasatan segera dilakukan sepanjang pelaksanaan ops itu.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan