AM

IBADAH HAJI TUNTUT UMAT ISLAM KEMBALI KEPADA FITRAH - MOHD NA'IM

15/06/2024 06:51 PM
Daripada Noor Shamsiah Mohamed @ Ismail

MAKKAH, 15 Jun (Bernama) -- Ibadah haji menuntut umat Islam supaya kembali kepada fitrah iaitu beriman kepada Allah SWT dan menolak segala bentuk perbuatan mensyirikkan atau menduakan-Nya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar ketika menyampaikan Khutbah Arafah pada Hari Wukuf hari ini, berkata pelaksanaan haji secara tidak langsung dapat mendidik manusia untuk memperkukuh akidah, memperbaiki amal ibadah dan membentuk keperibadian akhlak yang mulia.

“Allah SWT ingin mendidik kita menerusi ibadah haji dengan beberapa peraturan dan larangan dalam melakukan perbuatan yang membinasakan serta merosakkan. Termasuk juga kepentingan memelihara lidah dan pertuturan,” katanya.

Beliau berkata selain itu, ibadah haji diwajib untuk umat Islam kembali mengingati-Nya serta menolak segala bentuk kesyirikan yang boleh menyebabkan seseorang jatuh ke lembah kebinasaan dan kemaksiatan.

“Kehadiran kita di bumi Arafah pada ketika ini tidak lain dengan rahmat dan keizinan Allah SWT jua yang telah memudahkan perjalanan para dhuyufurrahman sekalian dari negara kita yang jauh sehinggalah selesai kita menyempurnakan ibadah haji kelak. 

“Kita tinggalkan keluarga, harta dan kesenangan yang kita miliki di rumah masing-masing semata-mata bagi memenuhi seruan Allah SWT sebagai tetamu-Nya untuk menyempurnakan rukun Islam kelima. 

“Inilah kemuncak dalam sebuah perjalanan haji iaitu berwukuf di Arafah sebagaimana disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW, haji itu Arafah,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Na'im berkata 31,600 jemaah haji Malaysia yang terpilih menjadi tetamu Allah pada tahun ini harus bersyukur kerana masih ramai umat Islam yang ternanti-nanti giliran mereka untuk dijemput sebagai dhuyufurrahman.

Beliau turut menyeru mereka supaya melaksanakan segala rukun dan wajib haji dengan penuh tertib serta penghayatan yang tinggi selain istiqamah beramal dan bersungguh-sungguh melaksanakan setiap perintah-Nya.

Selesai Khutbah Arafah, jemaah haji menunaikan solat Zuhur dan Asar secara tamam disusuli talbiah serta zikir.

Terdahulu, Mohd Na’im meluangkan masa melawat khemah penempatan dan beramah mesra dengan jemaah haji Muassasah di sini.

Malaysia menerima kuota sebanyak 31,600 jemaah daripada Kerajaan Arab Saudi bagi musim haji 1444H/2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan