AM

HAJI: ADUAN JEMAAH TAHUN INI BERKURANGAN - MOHD NA'IM

15/06/2024 04:07 PM
Daripada Noor Shamsiah Mohamed @ Ismail

MAKKAH, 15 Jun (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengharapkan penambahbaikan kemudahan di Arafah dapat membantu 31,600 jemaah haji negara memberi fokus kepada soal ibadah tanpa memikirkan masalah lain.

Mohd Na’im yang sempat turun padang menyantuni jemaah haji jemaah seusai Subuh tadi berkata aduan yang diterima pada tahun ini berkurangan, berbanding semasa beliau bertemu jemaah tahun lepas.

“Kalau tahun lepas soal makanan antara aduan yang kita terima, namun pagi tadi tadi saya tengok jemaah menghabiskan sarapan yang diberikan, malah makan dengan berselera dan saya turut difahamkan makanan malam semalam juga tidak kurang enaknya.

“Yang kedua pula ialah berkenaan tandas, tidak seperti tahun lepas jemaah haji kita terpaksa beratur panjang, namun apabila ada kemudahan tandas ada dua tingkat ini membolehkan jemaah menggunakan kemudahan ini tanpa memerlukan masa yang panjang, jadi ini merupakan dua penambaikan yang saya rasa penting,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada petugas media selepas menyantuni jemaah haji Malaysia di tapak perkhemahan di Arafah di sini diiringi Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Abdul Rashdi Hussain.

Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Syed Hamadah Syed Othman dan Ketua Rombongan Haji Malaysia 1445H/2024 Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Selain dua perkara berkenaan, katanya penambahbaikan juga dilakukan terhadap sistem penghawa dingin menyebabkan ada dalam kalangan jemaah memilih untuk duduk di luar khemah kerana suhu yang terlalu sejuk di dalam khemah.

Sementara itu, Mohd Na’im turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas haji kerana komitmen ditunjukkan termasuk bertungkus lumus membantu melancarkan pergerakan jemaah dari hotel penginapan masing-masing sehingga ke Arafah sejak pagi semalam hingga awal pagi tadi.

“Saya nak zahirkan rasa terharu dan kagum saya dengan komitmen yang ditunjukkan oleh petugas-petugas haji sehingga pukul 1 pagi membawa jemaah yang uzur ke tandas, meneman keluar, melayan jemaah haji yang uzur dan ini merupakan satu pengorbanan besar yang ditunjukkan petugas haji kita,” katanya.

Beliau berkata rata-rata jemaah haji juga menzahirkan penghargaan kepada TH sama ada dari sudut kebajikan, bimbingan rohani dan keselamatan serta memuji petugas TH telah menjalankan tugas dengan baik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan