AM

JUMLAH KETUA ISI RUMAH MISKIN TEGAR DI JOHOR MENURUN 92 PERATUS

15/06/2024 03:40 PM

JOHOR BAHRU, 15 Jun (Bernama) -- Jumlah ketua isi rumah (KIR) bagi kategori miskin tegar di Johor menurun sebanyak 92 peratus sejak Mac 2023 sehingga kini.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi laman Facebook beliau hari ini berkata penurunan itu berkurangan daripada seramai 4,378 KIR kepada 359 KIR.

"Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan sifar miskin tegar Johor menjadi satu realiti. Insya-Allah kami akan terus berusaha untuk membantu mereka yang memerlukan.

"Tahniah dan syabas saya ucapkan atas segala usaha dan gerak kerja yang dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pejabat Daerah, Majlis Agama Islam Negeri Johor, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Ahli-Ahli Majlis, Ketua-Ketua Kampung, Penghulu dan semua agensi yang terlibat," katanya.

Beliau berkata antara inisiatif yang telah dilaksanakan iaitu program Keluarga Angkat dan Dapur Kasih Johor yang boleh menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah, bantuan baik pulih rumah, bantuan peralatan, latihan dan pendidikan.

Pada 9 Mei lepas, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dilapor bertitah mahu tiada KIR bangsa Johor berstatus miskin tegar selepas 2025.

Baginda bertitah sehubungan itu, kesemua 56 ADUN Johor perlu lebih proaktif mengenal pasti kelompok berkenaan dan memberi bantuan dalam tempoh 19 bulan akan datang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan