AM

KERAJAAN SETUJU LULUS PERUNTUKAN PROJEK PENYALURAN AIR KE EMPANGAN BUKIT MERAH - PM

15/06/2024 03:12 PM

BAGAN SERAI, 15 Jun (Bernama) -- Kerajaan secara prinsipnya bersetuju untuk meluluskan peruntukan pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah, bagi menyediakan bekalan air terawat ke utara Perak dan Pulau Pinang yang dianggarkan menelan kos RM4 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek itu sebahagiannya akan dilaksanakan untuk menyokong projek Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), di Kerian.

“Kalau diurus bekalan air itu (di Perak) dengan baik, ia bukan sahaja mencukupi malah melebihi, melalui projek pengurusan air dan beberapa program tempatan ia akan dapat memenuhi keperluan di KIGIP, keperluan pengairan di Kerian dan terus ke Seberang Perai.

“Ia memerlukan dana RM4 bilion, dan kerajaan pada dasarnya bersetuju, walaupun bukan tahun ini tetapi kita akan jadikan ia sebagai keutamaan,” katanya Ketika berucap merasmikan Pelancaran Pelan Induk KIGIP di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Mengenai KIGIP, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kelulusan bagi cadangan susur keluar dari KIGIP ke Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang dianggarkan menelan kos RM60 juta, akan dipercepatkan bagi menyokong pembangunan KIGIP. 

Kerajaan negeri memohon pembinaan susur keluar baharu dari KIGIP ke lebuhraya PLUS, dilengkapi fasiliti seperti surau dan tandas untuk menyokong pembangunan serta melengkapkan ekosistem pengangkutan kawasan berkenaan. 

Lokasi yang dicadangkan antaranya ialah 3.6 kilometer dari Plaza Tol Alor Pongsu arah utara, yang akan menjadi gerbang masuk utama ke KIGIP dan pembinaan susur keluar berkenaan memberi manfaat kepada penduduk sekitar seperti Bagan Serai, Kampung Sungai Bogak, Kampung Tali Air dan Pekan Simpang Lima.

Selain itu, Anwar berkata KIGIP di Kerian mencatat sejarah projek penting kepada negara meliputi teknologi canggih, kecerdasan buatan dan peralihan tenaga.

Beliau berkata syarikat terlibat juga digalakkan mengutamakan tenaga kerja tempatan di persekitarannya termasuk Bagan Serai dan Kerian.

“KIGIP juga akan memberikan peluang Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada anak-anak tempatan, mereka (syarikat) boleh ambil ramai jurutera tempatan dan memberi pendapatan tinggi kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Fadillah dalam sidang media berkata sebuah jawatankuasa yang beliau ketuai telah ditubuh, bagi memastikan semua infrastruktur untuk projek KIGIP diselesaikan secepat mungkin.

“Saya diamanahkan oleh Perdana Menteri untuk melihat segala infrastruktur untuk projek ini (KIGIP) agar dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Ada empat asas infrastruktur yang kita kena lihat, pertamanya tenaga, kedua air, ketiga dari segi jalan dan keempat dari segi komunikasi,” katanya

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan