SUKAN

KEYAKINAN TINGGI KUNCI UTAMA KEJAYAAN PENANG FC - KETUA JURULATIH

15/06/2024 09:55 AM

TEMERLOH, 15 Jun (Bernama) -- Keyakinan tinggi pemain skuad Penang FC dalam mengambil sepakan penalti menjadi kunci utama kejayaan mereka menyingkirkan Sri Pahang FC pada saingan Piala FA 2024 di gelanggang lawan di sini malam tadi.

Ketua jurulatih Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata faktor keyakinan itu diperoleh hasil kerja keras anak buahnya yang menjalani latihan tanpa jemu sehingga mampu melakar kejayaan layak ke peringkat suku akhir.

"Saya amat yakin dengan kebolehan pemain saya untuk menyempurnakan sepakan penalti kerana mereka amat gigih berlatih termasuk dari aspek itu.

"Selain persembahan cemerlang sepanjang 120 minit perlawanan, keputusan sepakan penalti inilah yang membuatkan saya amat gembira pada malam ini," katanya pada sidang media sejurus tamat perlawanan malam tadi.

Mengulas lanjut mengenai aksi itu, Akmal Rizal mengakui pasukan kendaliannya yang menghasilkan gol awal lebih menguasai permainan pada separuh masa pertama sebelum situasi sebaliknya berlaku pada babak kedua.

"Selepas Sri Pahang menyamakan keputusan 1-1, bukan mudah apabila kita ditekan, tetapi kita minta pemain kekal tenang dan berkeyakinan untuk terus bertahan pada masa sama cuba juga mencipta jaringan.

"Pasukan lawan banyak menyerang namun, barisan pertahanan kita cukup konsisten dan saya amat berharap momentum kemenangan ini dapat diteruskan pada aksi seterusnya," katanya.

Perlawanan berakhir dengan kemenangan Penang FC hasil keputusan sepakan penalti 4-3.

Sementara itu, pengendali Sri Pahang FC Fandi Ahmad berkata pasukannya kurang bernasib baik meskipun sudah menampilkan persembahan yang mampu menyaingi lawan.

"Kita sudah menyerang dan mencipta banyak peluang untuk menghasilkan gol terutama pada babak kedua tetapi tidak masuk sehingga perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

"Pasukan Sri Pahang bermain dengan baik cuma kelemahan yang amat perlu diperbaiki sejak dahulu ialah kita lambat menyesuaikan diri dengan perlawanan sehingga kurang menyerlah pada separuh masa pertama," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan