AM

32 EKSPERIMEN DEMI KESELESAAN JEMAAH HAJI

15/06/2024 09:38 AM

MAKKAH, 15 Jun (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan dan Logistik Arab Saudi telah melaksanakan 32 eksperimen tahun ini sebagai sebahagian usaha menyediakan perkhidmatan yang cekap dan berkesan kepada jemaah.

Menterinya Saleh Al-Jasser berkata 17 daripada eksperimen itu beroperasi buat kali pertama manakala selebihnya dikembangkan daripada eksperimen sebelum ini.

“Satu daripada eskperimen yang berjaya buat kali pertama ialah teksi terbang. Kami juga mempunyai perkhidmatan dron untuk memeriksa jalan, kami ada jalan getah, kami ada jalan dicat putih untuk mengurangkan suhu dan kami ada sistem pemantauan elektronik untuk bas supaya bas tidak sewenang-wenangnya melanggar undang-undang jalan raya.

“Pemerhati (yang memantau sistem) dapat mengesan bas (yang melanggar undang-undang), pemandu dan lesen bas,” katanya ketika menerima kunjungan kumpulan media antarabangsa daripada 10 agensi di pejabat kementerian itu hari ini.

Mengulas mengenai ciptaan dan eksperimen teksi terbang, Saleh berkata kemudahan itu boleh memuatkan dua penumpang pada satu masa.

Beliau berkata lesen untuk terbang pesawat itu adalah yang pertama dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam.

“Kami menyambut baik semua teknologi, bermakna kami mendapatkan perkembangan daripada Kementerian Pengangkutan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam berkenaan model pesawat yang ada, jadi kami mencuba dan memilih apa yang sesuai dengan tugas operasi,” katanya.

Saleh turut berkata terdapat banyak idea baharu yang sedang dinilai untuk direalisasikan bagi memberi jemaah haji perkhidmatan yang lebih baik.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan