AM

JAWATANKUASA DEKARBONISASI KEBANGSAAN DITUBUHKAN - ANWAR

15/06/2024 12:06 AM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Kerajaan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Dekarbonisasi Kebangsaan yang akan melibatkan kerajaan-kerajaan negeri serta pihak berkepentingan berkaitan bagi memastikan peralihan kepada pembangunan rendah karbon dilaksanakan secara teratur dan seimbang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perkongsian dalam Facebook selepas mempengerusikan Mesyuarat Kelima Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara (MTPIN) hari ini berkata pelaksanaan itu akan turut disokong dengan dasar baharu yang lebih terangkum dan menyeluruh dengan mengambil kira komitmen negara di bawah Perjanjian Paris. 

"Sektor kewangan juga turut memberikan komitmen dalam memperkukuh peranan institusi kewangan dalam menyokong hala tuju peralihan pembangunan rendah karbon menerusi Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim. 

"Segala keputusan hari ini akan menjadi asas kepada pendirian negara pada persidangan peringkat antarabangsa. Isu perubahan iklim serantau juga akan diberi keutamaan semasa Malaysia memegang kepengerusian ASEAN bermula tahun depan," kata Anwar.

MTPIN ialah platform perbincangan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi menetapkan dasar dan hala tuju berkaitan perubahan iklim.

Dalam mesyuarat itu, Anwar berkata Malaysia kekal komited dalam memastikan aspirasi Pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) sifar bersih negara dapat dicapai menjelang 2050.

"Fokus utama kerajaan adalah untuk mempercepat proses peralihan kepada ekonomi rendah karbon dan kepentingan melindungi rakyat daripada impak perubahan iklim yang makin dirasai negara," kata beliau.

Malah, Perdana Menteri turut menekankan pendekatan pelbagai dimensi oleh semua pihak dalam usaha mengarusperdanakan perubahan iklim dalam dasar sektoral dan rancangan pembangunan negara.

Justeru, beliau yakin inisiatif yang diputuskan dalam mesyuarat itu akan memastikan negara terus progresif dalam menangani isu perubahan iklim secara holistik dan bersepadu demi melindungi generasi masa hadapan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan