SUKAN

SHEREEN BERI TUMPUAN 400 METER AKHIR ESOK BAGI PERBAIKI KELAYAKAN OLIMPIK

14/06/2024 09:16 PM

KUANTAN, 14 Jun (Bernama) -- Atlet olahraga wanita negara Shereen Samson Vallabouy akan memberi tumpuan dalam acara kegemarannya iaitu lari 400 meter dalam pusingan akhir pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Darul Makmur esok.

Pelari kelahiran Perak itu layak ke peringkat akhir selepas berjaya menamatkan pusingan separuh akhir bagi mendahului pesaing lain dengan catatan 55.44 saat.

Shereen, 26, berkata beliau tidak memberi tumpuan terhadap catatan masa pada aksi separuh akhir itu.

“Masa bukan dalam pemikiran saya hari ini, cuma berlari dengan tenang untuk layak ke pusingan akhir esok.

“Untuk memperbaiki peluang kelayakan Olimpik, saya perlu memecahkan rekod kebangsaan dalam dua kejohanan dan cuba mendapatkan yang pertama esok,” katanya kepada pemberita selepas acara separuh akhir 400 meter wanita di sini hari ini.

Shereen perlu memperbaiki rekod kebangsaan 51.79 saat miliknya dua kali iaitu di Kuantan dan Terbuka Kazakhstan di Almaty bagi membuka jalan kepada pemenang pingat gangsa Sukan Asia itu untuk meningkatkan kedudukannya dalam usaha mendapatkan tempat beraksi di Sukan Olimpik Paris.

Shereen kini berada di kedudukan ke-63 dalam perjalanan ke Paris dan hanya 48 teratas dijamin tempat Olimpik.

Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia Cahya Mata 2024 yang membuka tirainya hari ini bakal berlangsung selama tiga hari di Stadium Darul Makmur di sini, menampilkan 578 atlet terdiri daripada 17 pasukan dalam negara dan lapan negara luar seperti Australia dan Rusia.

-- BERNAMA


 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan