EKONOMI

WASCO TERSENARAI DALAM INDEKS FTSE4GOOD DAN F4GBMS, BUKTIKAN KOMITMEN ESG

14/06/2024 09:25 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga Wasco Bhd tersenarai dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (FTSE4GBM) dan FTSE4Good Bursa Malaysia Syariah (F4GBMS). 

Syarikat itu dalam kenyataan hari ini berkata pengiktirafan ini menarik pelabur yang berfokus kepada alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), berpotensi meningkatkan pelaburan dan akses yang lebih baik kepada modal. 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Gian Carlo Maccagno berkata penyertaan dalam indeks ini adalah bukti komitmen syarikat dalam ESG, menawarkan pelabur keterlihatan yang lebih jelas dalam usaha syarikat.

“Kami berbangga dengan apa yang telah kami capai setakat ini dan komited untuk mencapai karbon sifar dalam operasi kami menjelang 2026,” katanya dalam kenyataan sama.

Wasco berkata pencapaian ini menyediakan penanda aras untuk penambahbaikan berterusan dalam prestasi ESG, menggalakkan syarikat untuk mengekalkan standard tinggi.

Melangkah ke hadapan, katanya ia terus komited mencapai sasaran Sifar Bersih 2026, mencipta nilai jangka panjang untuk pihak berkepentingannya, dan memberi sumbangan positif kepada alam sekitar dan masyarakat.

“Penyertaan dalam indeks ini bukan sahaja satu penghargaan kepada Wasco, malah bukti komitmen yang berterusan untuk memberi impak positif kepada organisasi dan komuniti yang lebih luas,” katanya.

Menurut syarikat itu, Indeks F4GBMS mengikuti konstituen dalam F4GBM yang mematuhi Syariah, mengikut metodologi saringan Majlis Penasihat Syariah (SAC).

Kedua-dua indeks ini dikaji semula secara separa tahunan pada Jun dan Disember, berasaskan kriteria antarabangsa.

“Untuk tempoh semakan terbaru pada Jun 2024, penambahan 12 konstituen kepada Indeks F4GBM akan membawa jumlah keseluruhan konstituen kepada 120. Ini mewakili peningkatan sebanyak 400 peratus sejak indeks ini diperkenalkan pada Disember 2014 dengan hanya 24 konstituen,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan