AM

AB RAUF TERIMA KUNJUNG HORMAT DUTA SETIAKAWAN PELANCONGAN MELAKA FAN BINGBING

14/06/2024 05:17 PM

MELAKA, 14 Jun (Bernama) -- Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menerima kunjung hormat bintang filem terkemuka China Fan Bingbing yang bakal dilantik sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di pejabatnya di sini hari ini.

Bingbing yang berkebaya nyonya berwarna merah jambu bersama pasukan pengurusannya tiba di Pejabat Ketua Melaka di Seri Negeri di sini kira-kira 9.45 pagi. 

Dalam pertemuan kira-kira 30 minit itu, Ab Rauf dan Bingbing bertukar pandangan berkaitan bentuk promosi yang boleh dilakukan oleh selebriti antarabangsa itu yang mempunyai pengaruh besar dalam media sosial.

Beliau berkata pelantikan pelakon utama dalam drama The Empress of China itu sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka pada Sabtu ini dilihat sebagai pemangkin kepada sektor pelancongan Melaka khususnya dalam usaha menarik kedatangan lebih ramai pelancong China.

"Bingbing pada mulanya datang ke Melaka untuk melancong namun atas cadangan pengurusnya, beliau akan membantu mempromosikan Melaka memandangkan beliau mempunyai pengaruh yang cukup besar di media sosial.

"Kehadiran beliau sepanjang empat hari hingga Ahad di Melaka ini akan dimanfaatkan dengan mempromosikan destinasi pelancongan menarik sekali gus memberi nilai tambah untuk menarik kedatangan pelancong dari China," katanya kepada pemberita selepas sesi kunjung hormat berkenaan.

Ab Rauf berkata Bingbing turut menyatakan komitmen untuk membantu mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama dalam kalangan pelancong China memandangkan sejarah  hubungan diplomatik antara Melaka dan China telah terjalin sejak zaman pelayaran Laksamana Cheng Ho.

Beliau berkata sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China pada tahun ini, aktres wanita itu juga tertarik untuk membantu memperkukuh lagi hubungan sedia ada khususnya menerusi sektor pelancongan.

Bingbing yang mempunyai 63 juta pengikut di Weibo (platform media sosial di China mirip X) dan 4.1 juta pengikut Instagram, lazimnya ditonjolkan sebagai wajah kebudayaan China di peringkat global.  

Selain filem China, beliau juga pernah membintangi filem adiwira Hollywood, 'X-Men: Days of Future Past', selain filem Perancis dan Korea.

Pada 2017, Fan Bingbing menghiasi kulit majalah Time dan beliau turut dinamakan sebagai antara 100 Orang Paling Berpengaruh.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan