AM

AKRAB MAIN PERANAN BERI PENCERAHAN KEPADA PENJAWAT AWAM SUPAYA AGENDA NEGARA MADANI DAPAT DIREALISASI

14/06/2024 03:54 PM

PUTRAJAYA, 14 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu ahli dalam Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) memainkan peranan untuk memberi pencerahan dan kefahaman kepada rakan-rakan penjawat awam mengenai dasar dan program kerajaan supaya agenda negara MADANI dapat direalisasikan.

Beliau berkata ahli AKRAB juga memainkan peranan sebagai benteng yang dapat menghalang golongan kecil dalam kalangan penjawat awam dari terus merosakkan seluruh agenda kerajaan.

“Paling penting bila pegang amanah mesti jaga khazanah negara ini jangan ambil dan sakau, kerana bila ambil peruntukan semua terjejas. Kita halang itu dulu. 

“Peranan AKRAB untuk pastikan menjadi pemantau, mata dan telinga supaya dapat kita tingkatkan martabat (negara),” katanya dalam sesi Dialog bersama AKRAB pada Majlis Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di sini hari ini, yang dihadiri kira-kira 10,000 peserta.

Terdahulu beberapa penjawat awam bertanyakan soalan kepada Anwar apakah nilai yang menjadi pegangan beliau dan meminta beliau berkongsikan ia untuk dijadikan pedoman oleh penjawat awam dalam melaksanakan tanggungjawab.

Terdahulu Anwar menyampaikan watikah pelantikan kepada Presiden Majlis AKRAB Kebangsaan (MAK) Mohd Afendi bin Ya @ Zakaria sebagai simbolik mewakili seluruh ahli AKRAB bertauliah, serta melancarkan AKRAB sebagai Ejen Penggerak Perubahan Perkhidmatan Awam dalam memastikan dasar-dasar Kerajaan MADANI dapat terus dilaksanakan dengan baik dan cemerlang.

Sejak penubuhan AKRAB hampir dua dekad lepas 22,379 orang telah diberi pentauliahan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, yang berperanan sebagai ejen penggerak perubahan kerajaan dan bertanggungjawab untuk ‘membentuk rakan yang membantu rakan’ dalam memupuk semangat berpasukan, keharmonian dan saling menghormati.

Bertemakan ‘H.E.M.A.T: Menyantuni Hasrat, Membina Citra’, himpunan AKRAB kali ini berfokuskan kepada membudayakan tiga prinsip dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pegawai awam iaitu memudahkan urusan pemegang taruh dan pelanggan; menyesuaikan cara kerja selari dengan agenda kerajaan; menyegerakan pelaksanaan segala keputusan kerajaan, selaras dengan nilai-nilai H.E.M.A.T. iaitu Hijrah, Tata Kelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Telus Tadbiran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan