Daripada Noor Azuki Fahme Ismail
Makkah, 13 Jun (Bernama) -- Umat Islam perlu memainkan peranan aktif dan berkesan untuk mewujudkan keamanan dan kemakmuran sejagat, kata Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL) Dr Muhammed Abdulkarim Al-Issa.
Beliau berkata satu daripada pendekatan yang boleh diambil ialah membina 'jambatan' persefahaman antara timur dan barat seperti yang dilakukan MWL.
Dr Mohammed berkata menerusi pendekatan itu, MWL dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York telah melancarkan inisiatif persidangan "Membina Jambatan Persefahaman dan Keamanan antara Timur dan Barat" dengan yang terkini berlangsung di Mesir, Mei lepas.
"Antara mesej yang disampaikan oleh MWL ketika persidangan ini ialah Islam menyeru ke arah dialog secara aman dan bertamadun.
"Seperti kita tahu, dunia ini penuh dengan perbezaan sama ada perbezaan dari segi agama, fahaman, etnik mahupun budaya. Jadi apa yang kita perlu lakukan, adalah dengan menerima sepenuh hati perbezaan ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam pertemuan dengan wartawan dari agensi berita antarabangsa yang sedang membuat liputan haji pada tahun ini atas jemputan Saudi Press Agency (SPA) di ibu pejabat MWL di sini.
Perbezaan itu katanya jika tidak diselesaikan secara berhemah akan menimbulkan pemikiran-pemikiran yang ekstrem dalam kalangan masyarakat.
Muhammed berkata perbezaan itu juga jika tidak diatasi dengan baik akan menimbulkan isu baharu seperti pertembungan pemikiran, salah faham dan seterusnya boleh membawa konflik yang lebih teruk seperti peperangan.
"Sekiranya kita semua berusaha bersama, saya yakin kita boleh mencapai keamanan dan keharmonian antara umat sejagat," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial