AM

329 BANDUAN DI TIGA NEGERI DIBERI PELEPASAN SEMPENA AIDILADHA

13/06/2024 04:18 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Sebanyak 329 banduan dan penghuni pusat koreksional di tiga negeri akan menyambut Aidiladha bersama keluarga tersayang melalui program Pelepasan Bantuan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti) hari ini.

Di SABAH, Pengarah Penjara Sabah dan Labuan Nora Musa berkata sebanyak sebanyak 196 orang menerima pelepasan melalui PBSL dan daripada jumlah itu, 64 orang bebas berlesen (OBB) adalah dari penjara Kota Kinabalu.

Beliau berkata OBB kecuali tahanan rumah, akan dipastikan mempunyai pekerjaan bagi memperoleh pendapatan untuk diri dan juga keluarga mereka, di samping sebagai langkah penting dalam usaha mengintegrasikan mereka ke dalam masyarakat.

Beliau turut menasihati OBB supaya tidak sama sekali kembali ke penjara dengan memastikan diri mereka bersih daripada sebarang jenayah, dan menjadi anggota masyarakat yang produktif.

Di TERENGGANU, Pengarah Penjara negeri Hamid Taha berkata 118 banduan diberi pelepasan melalui PBSL Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti).

Hamid berkata sejak PBSL diperkenalkan, sejumlah 1,500 banduan telah dibebaskan secara lesen dengan hanya lima daripadanya kembali dimasukkan ke penjara.

“Kejayaan ini disebabkan peluang pekerjaan yang ada buat banduan ini hasil kerjasama keluarga dan majikan, 90 peratus daripada mereka telah bekerja dan dapat menyara keluarga,” katanya menambah bahawa kebanyakan yang dibebaskan adalah pesalah jenayah dadah.

Sementara itu, di PERLIS, Pengarah Penjara negeri Raja Nazril Azman Raja Azam Iskandar berkata 15 penghuni Pusat Koreksional Perlis (Jabatan Penjara Malaysia) dibebaskan menerusi PBSL Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti).

"Kesemua penghuni yang dibebaskan berlesen ini akan dipantau oleh Parol daerah masing-masing, mereka tidak perlu ke Parol tetapi pihak Parol itu sendiri akan datang ke rumah, serta mereka hanya dibenarkan keluar dalam tempoh 8 pagi hingga 5 petang," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan