EKONOMI

MIDA SASAR RANGSANG PERSEKITARAN EKONOMI MAMPAN DAN BERDAYA TAHAN UNTUK TARIK PELABURAN

13/06/2024 03:41 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyasar untuk merangsang persekitaran ekonomi yang teguh, mampan dan berdaya tahan bagi menarik dan mengekalkan pelaburan yang besar untuk memacu Malaysia berkembang lebih maju pada masa depan.

Pengerusi Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berkata persaingan untuk menarik pelaburan global menjadi semakin sengit dan negara tidak boleh terlalu cepat berpuas hati dengan apa yang telah dicapai. 

“Dalam usaha membangun berdasarkan momentum kita ketika ini dan mendepani cabaran pada masa hadapan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan MIDA bersedia untuk memainkan peranan yang lebih dinamik pada 2024,” katanya semasa menyampaikan ucap tama pada Seminar Pelaburan Kebangsaan: Memperkasakan Semula Pelaburan Domestik, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tumpuan utama MIDA adalah pada pelaksanaan menyeluruh semua inisiatif dan mandat kerajaan untuk mencapai hasil yang disasarkan sejajar dengan agenda negara, iaitu Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga.

Sulaiman berkata untuk berkembang maju di tengah-tengah cabaran global yang kompleks, Malaysia mesti menerima inovasi dan membangunkan penyelesaian baharu secara berterusan.

“Menyedari peranan penting perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam ekonomi Malaysia, MITI dan MIDA komited untuk memperkasakan sektor perniagaan ini.

“Kami berhasrat untuk meningkatkan produktiviti, menggalakkan penggunaan teknologi, dan meningkatkan daya saing dalam pasaran tempatan dan antarabangsa. Kami akan terus menyokong PKS mencapai pertumbuhan mereka,” katanya.

Sulaiman berkata MIDA sedang memperkukuh keupayaan syarikat tempatan untuk menyepadu ke dalam rantaian bekalan global, satu langkah penting kepada industri seperti reka bentuk litar bersepadu, yang mana kepakaran dan inovasi tempatan boleh melonjakkan Malaysia ke persada dunia.

Agensi itu sedang menyelaraskan strateginya dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk menarik projek pelaburan bernilai tinggi, inovatif, berkualiti dan mampan, katanya.

“Kami berminat untuk bekerjasama dengan rakan kongsi yang memberi tumpuan kepada ‘pelaburan berimpak’. Matlamat kami adalah untuk memperkasakan rantaian bekalan tempatan, menyokong syarikat dalam mengautomasikan proses dan meningkatkan kecekapan kos sambil memenuhi permintaan industri dan mengurangkan kesan sosial dan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata prestasi pelaburan asing dan pelaburan domestik perlu dilihat bukan sahaja sebagai peluang untuk memanfaatkan pulangan kewangan tetapi juga menambah baik hasil sosial dan alam sekitar.

Sementara itu, Sulaiman berkata MIDA juga mempunyai Meja Pelaburan PKS yang dikhususkan untuk memudahkan dan menyelaras perkhidmatan sokongannya kepada perniagaan Malaysia.

Bagi tempoh Januari-Mac 2024, MIDA telah menganjurkan 14 program yang melibatkan lebih 420 PKS di seluruh Malaysia.

“MIDA akan bekerjasama rapat dengan syarikat serta rakan kongsi utama seperti Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) untuk memupuk persekitaran perniagaan yang lebih kondusif dan meningkatkan peluang pertumbuhan.

“Usaha itu akan membantu perniagaan untuk meningkatkan operasi, menambah baik keupayaan rantaian bekalan, mengguna pakai teknologi termaju dan mengukuhkan daya saing dalam pasaran domestik dan global,” katanya.

Sementara itu, naib presiden FMM Jacob Lee, menerusi ucapan alu-aluannya pada seminar itu, menekankan kepentingan pelaburan domestik yang kukuh, dengan mengatakan bahawa permintaan domestik yang kukuh menghasilkan lebih banyak pelaburan domestik yang penting bagi memastikan kejayaan pelaburan asing.

“Pelaburan domestik biasanya mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan ini disumbang daripada industri kecil dan sederhana yang menyediakan peluang pekerjaan dan memberi peluang berterusan kepada pemain industri tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Lee berkata pelaburan asing dan pelaburan domestik saling melengkapi antara satu sama lain sambil menambah pindahan pengetahuan daripada pelaburan asing dan keperluan untuk industri domestik yang teguh bagi menyokong perniagaan membawa kepada inovasi dan pertumbuhan perniagaan domestik.

“Seiring peralihan waktu dengan sokongan yang sewajarnya, perniagaan domestik boleh melangkah lebih jauh dan bukan sekadar hanya menjadi penyokong kepada pelaburan asing serta boleh bersaing di peringkat antarabangsa untuk membina jenama Malaysia di luar negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan