BERITA TERGEMPAR   Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | 
 EKONOMI

35 Produk Rekaan Tempatan Terima Pengiktirafan Tertinggi Pada Mgda 2023/2024

12/06/2024 11:38 PM

PUTRAJAYA, 12 Jun (Bernama) -- Sebanyak 35 produk daripada 13 buah syarikat telah menerima anugerah di majlis anugerah Malaysia Good Design Award 2023/2024 (MGDA 2023/2024) yang diadakan di sini hari ini.

Pemenang dipilih atas kejayaan mereka menepati standard penilaian rekabentuk yang berinovatif, setanding dengan rekaan antarabangsa, menerima trofi dan sijil.

Trofi dan sijil tersebut disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan and Pelaburan), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Bahria Mohd Tamil, mewakili menteri kementerian itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul dalam ucapannya yang dibacakan oleh Bahria berkata melalui penganjuran program ini, produk di hasilkan oleh pereka tempatan bukan sahaja berinovatif tetapi juga memiliki nilai komersial tinggi melalui integrasi reka bentuk yang menarik dan teknologi terkini sesuai dengan kehendak pasaran.

“Dalam sektor reka bentuk, aplikasi kecerdasan buatan (AI) telah mentransformasikan cara pereka bentuk bekerja. Ia kini digunakan untuk mengautomasi tugas-tugas reka bentuk yang berulang atau menghasilkan inovasi visual yang kompleks.

“Teknologi ini membolehkan pereka bentuk mengkaji pelbagai pilihan reka bentuk dengan lebih cekap, melakukan simulasi penggunaan dan menyediakan solusi kepada permasalahan  pelanggan secara lebih tepat, menjimatkan masa dan meningkatkan produktiviti,” katanya.

Turut hadir ke MGDA 2023/2024 ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) MITI, Mastura Ahmad Mustafa, Pengerusi Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM), Junady Nawawi dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan SIRIM, Sabarina Harun.

Sementara itu, Junady Nawawi dalam ucapannya berkata program seumpama MGDA telah di guna pakai di negara-negara maju terdahulu seperti Jepun yang terkenal dengan program G-Mark dan Jerman pula dengan Red Dot.

“Kedua-dua program ini mempunyai objektif yang sama iaitu mempertingkatkan keupayaan reka bentuk perindustrian negara.

“MGDA bukan sekadar penghargaan tetapi ia adalah penanda aras kualiti reka bentuk produk kepada syarikat yang menyertainya.

“Pengiktirafan di majlis ini bukan sahaja membawa reputasi yang positif kepada syarikat, ia meningkatkan kredibiliti syarikat di mata rakan industri serta pemegang berkepentingan dan pelabur,” Junady berkata.

MGDA 2023/2024 telah merekodkan penyertaan 122 produk daripada 59 buah syarikat tempatan dan antarabangsa.

Produk-produk tersebut terdiri daripada 13 kategori termasuk Produk Senibina dan Alam Sekitar, Perdagangan dan Pameran Dagangan, Kraf, Perindustrian, Barangan Kemas, Fesyen dan Aksesori dan Pembungkusan.

Produk berkenaan telah dinilai oleh Jawatankuasa Penilai, dibantu oleh lapan orang pereka profesional dari pelbagai kepakaran berkaitan.

Penilaian dijalankan berdasarkan kepada kriteria tahap inovasi, fungsi, ciri-ciri simbolik yang menimbulkan emosi, penghuraian kualiti tersendiri, kualiti pembuatan, ergonomik, ketahanan dan ciri-ciri ekologi.

Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) ditubuhkan pada 1994 adalah agensi di bawah MITI, bertanggungjawab untuk menerajui dan menyelaras aktiviti-aktiviti rekabentuk di Malaysia agar setanding di peringkat global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan