AM

PEMIMPIN ISLAM SELATAN THAILAND MINTA DELEGASI OIC WUJUD POLISI KEAMANAN NEGARA ISLAM

12/06/2024 10:35 PM

PATTANI, 12 Jun (Bernama) -- Pemimpin-pemimpin Islam di Selatan Thailand meminta delegasi Duta Besar Negara-Negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Selatan Thailand iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat mewujudkan satu polisi keamanan negara Islam bagi menyelesaikan konflik di negara-negara Islam lain.

Presiden Majlis Agama Islam Wilayah Pattani Abdul Rahman Mat Mincik berkata polisi keamanan berkenaan perlu ada satu resolusi dan jalan penyelesaian untuk mencapai keamanan.

“Sebagai contoh, konflik (puak pemisah Islam) di selatan Thailand tidak pernah selesai sehingga kini dan ia berlaku mengikut musim.

“Diharapkan dalam lawatan OIC ke selatan Thailand dapat membantu menyelesaikan masalah-masalah pendamaian dan perselisihan faham di seluruh negara Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa program Lawatan Rasmi Duta Besar Negara-Negara OIC ke selatan Thailand ketika ditemui di Masjid Central Pattani, di sini.

Abdul Rahman berkata masyarakat Islam di selatan Thailand bersetuju agar polisi keamanan itu diwujudkan demi menjaga kemashalatan Islam.

“Alhamdulillah, setiap tahun OIC akan mengadakan lawatan di masjid-masjid selatan Thailand untuk mendengar laporan berkaitan urusan pendamaian di lima wilayah selatan negara ini.

“Kami tidak mahu berlaku pergaduhan dan perselisihan faham daripada segi politik, ekonomi mahupun urusan kerja.

“Oleh itu, kami hendak hidup dalam suasana yang sejahtera supaya masyakarat Islam di selatan Thailand dapat menikmati keamanan tanpa sebarang konflik,” katanya.

Senada dengan itu, Timbalan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Wilayah Yala Dr Ibrahim Yanya meminta delegasi OIC untuk mengambil perhatian serius dalam isu pemuda-pemuda Islam di selatan Thailand yang terlibat dengan masalah pengedaran dadah.

“Pemuda-pemuda Islam di selatan negara ini mempunyai masa depan yang cerah tetapi sayangnya mereka terjebak dengan masalah berkenaan.

“Saya melihat banyak laporan berita di Malaysia bahawa mereka (pemuda Islam selatan Thailand) ditahan kerana mengedar, menyeludup dan turut menjadi penagih dadah,” katanya.

Ibrahim berkata delegasi OIC perlu menyuarakan hal berkenaan dan mencari jalan penyelesaian mengekang masalah pengedaran dadah di sempadan Malaysia-Thailand.

Sementara itu, menyentuh mengenai pembangunan masjid-masjid di selatan Thailand, Abdul Rahman berkata Raja Thailand Raja Maha Vajiralongkorn banyak membantu berhubung pembangunan masjid-masjid di Pattani.

Menurut beliau, Raja Thailand banyak memberi ‘hadiah’ dan mengarahkan badan-badan khas untuk membina lebih banyak masjid di Pattani.

“Raja Thailand menyokong usaha imam-imam masjid mengadakan dakwah dan program berkaitan agama Islam.

“Setiap tahun Raja Thailand akan mengadakan lawatan di Masjid Central Pattani dan memberitahu saya bahawa hatinya tenang apabila melihat masjid itu,” katanya

Lawatan ke Wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat itu disertai delegasi dari Malaysia, Brunei, Mesir, Nigeria, Pakistan, Maldives, Iran serta Indonesia yang bermula dari 11 hingga 13 Jun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan