AM

TURBIN PERTAMA STESEN HIDROELEKTRIK TENOM PANGI PULIH BULAN DEPAN

12/06/2024 09:59 PM

KOTA KINABALU, 12 Jun (Bernama) -- Turbin pertama Stesen Hidroelektrik Tenom Pangi (SHTP) yang rosak akibat banjir besar dua tahun lepas dijangka pulih bulan depan.

Pengurus Besar Penjanaan Sabah Elektricity Sdn Bhd (SESB) Addie Ahmad berkata kerja-kerja pemulihan termasuk pembersihan terowong dijangka siap hujung bulan ini, diikuti menyalurkan air sungai ke terowong sebelum memulakan putaran turbin.

Beliau berkata SESB sedang melaksanakan proses perlindungan cerun tetap di kawasan kritikal sepanjang jalan masuk ke stesen itu bagi memastikan kejadian tanah runtuh dapat dimitigasikan pada masa akan datang.

"SESB bersama kontraktor telah menggunakan kaedah yang tidak melibatkan sebarang aktiviti peletupan untuk tujuan penghancuran batu-batu besar bagi memudahkan proses pengalihan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Addie berkata kos pembaikan setakat ini mencecah RM60 juta dan SHTP yang mempunyai kapasiti penjanaan elektrik 66 megawatt (MW) dijangka beroperasi sepenuhnya November ini.

Beliau berkata mengikut perancangan asal, turbin pertama dijadualkan beroperasi pada Mac diikuti turbin kedua bulan ini dan turbin ketiga pada September. 

Bagaimanapun, menurut Addie kerja-kerja pembersihan terowong air stesen itu sukar kerana dipenuhi tanah lumpur, batu besar dan longgokan kayu yang hanyut berikutan banjir besar.

"Lima pasukan sedang bertungkus lumus menempuh jarak lapan kilometer keseluruhan untuk pergi dan balik di dalam terowong bagi membersihkan lumpur, kayu yang masih terdapat di bahagian rumah kuasa dan tangki pusuan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan