AM

Isu Bekalan Air Ums: Polis Tidak Keluarkan Permit Perhimpunan

12/06/2024 09:36 PM

KOTA KINABALU, 12 Jun (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengeluarkan sebarang permit untuk mengadakan perhimpunan #KamiMahuAir yang dijadualkan berlangsung di hadapan Menara Kinabalu di sini, Jumaat ini. 

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata hal itu berikutan pihaknya tidak dapat memproses permohonan daripada penganjur kerana tidak disertakan dokumentasi yang diperlukan.

Menurut Kasim penganjur perhimpunan tidak dapat dihubungi, bagaimanapun surat maklum balas menyatakan permohonan tidak dapat diproses telah dihantar kepada mereka menerusi pos dan aplikasi Whatsapp.

“Justeru orang ramai terutamanya mahasiswa dinasihatkan tidak terlibat dalam perhimpunan ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sabtu lepas, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapha Sakmud menasihati kumpulan pelajar penganjur perhimpunan itu supaya menggunakan saluran yang betul untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka berhubung isu bekalan air yang dihadapi Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Mustapha melawat UMS keesokannya bagi meninjau isu itu dan memaklumkan pembinaan enam telaga tiub dengan peruntukan RM3 juta daripada Pejabat Perdana Menteri telah siap sepenuhnya sebagai sumber air alternatif.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan