AM

SELUDUP ROKOK HARAM DI KELANTAN CATAT PENURUNAN - JKDM

12/06/2024 06:16 PM

KOTA BHARU, 12 Jun (Bernama) -- Kegiatan penyeludupan rokok haram di Kelantan menunjukkan penurunan sebanyak 73.2 peratus apabila merekodkan rampasan lebih 4.4 juta batang rokok sejak Januari hingga Mei lepas, berbanding 16.6 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata pencapaian itu adalah hasil operasi berterusan dilakukan pihaknya untuk mengekang kegiatan haram tersebut yang dilakukan melalui pangkalan haram, jalan laut dan kuala sungai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Antara jenama rokok haram yang sering mendapat permintaan tinggi di Kelantan adalah 'Saat' dan 'John Blend' dengan rata-rata pembelinya daripada golongan pekerja am berpendapatan rendah dan pekerja ladang dalam kalangan warga asing," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Jamal Abdul Salam berkata harga rokok tidak lulus kastam dijual lebih murah berbanding rokok bercukai kastam iaitu sekitar RM8 hingga RM9 sekotak dan dipercayai diedarkan di kedai runcit di kawasan kampung.

Bagaimanapun katanya harga rokok haram itu boleh meningkat sehingga melebihi RM10 sekotak sekiranya bekalan sukar diperolehi susulan operasi pihaknya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan