PUTRAJAYA, 12 Jun (Bernama) -- Singapura terbuka kepada idea-idea baharu, termasuk membabitkan cadangan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) menghubungkan kedua-dua negara dalam sesi Permukiman Pemimpin Malaysia-Singapura kali ke-11 akhir tahun ini, kata Perdana Menteri republik itu, Lawrence Wong.
Beliau berkata Singapura akan mengambil kira perkembangan mengenai perbincangan berkaitan yang sedang dilaksanakan oleh kedua-dua negara.
“Sudah pasti, sepanjang perbincangan itu akan ada idea-idea baharu yang timbul dan kita terbuka untuk mendengar pandangan Malaysia jika ada cadangan berkaitan HSR.
“Apa juga idea baharu itu, kita akan berfikiran terbuka dan membincangkannya atas semangat untuk mengukuhkan lagi perhubungan,” kata beliau kepada pemberita dalam sidang media bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
Wong berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada HSR turut menjadi antara tumpuan perbincangan dua negara berkenaan dalam sesi permukiman berkenaan.
Malaysia akan menjadi tuan rumah sesi Permukiman Tahunan kali ini yang menjadi platform utama bagi kedua-dua perdana menteri membincangkan isu-isu hubungan dua hala selain meneroka bidang kerjasama baharu.
Antara lainnya, projek HSR itu bertujuan mengurangkan tempoh perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura daripada empat jam kepada 90 minit.
Projek itu dijadual beroperasi pada 2026 tetapi dibatalkan pada Januari 2021 sebelum dihidupkan semula pada tahun lepas dengan kerajaan Malaysia membuat penilaian cadangan konsep yang baharu.
Pada 1 Jan, 2021, Malaysia dan Singapura secara bersama mengumumkan pembatalan projek HSR berikutan tiada persetujuan dicapai berhubung pindaan dicadangkan Malaysia manakala perjanjian itu tamat pada 31 Dis, 2020.
Bagaimanapun pada 29 Nov, 2021, mantan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dilaporkan sebagai berkata republik itu terbuka kepada sebarang cadangan baharu Malaysia walaupun kedua-dua negara bersetuju membatalkan projek itu sebelum ini.
Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian dua hala bagi pelaksanaan projek HS pada 13 Dis, 2016.
Laluan rel sepanjang 350 kilometer itu sepatutnya siap pada 2026, sekali gus memendekkan masa perjalanan kepada 90 minit.
Sementara itu, Wong berkata kedua-dua negara juga berhasrat melaksanakan ‘projek berpotensi’ secara bersama, termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) selain Sistem Transit Aliran Johor Bahru-Singapura (RTS).
“Projek yang kita ada, termasuk RTS adalah pengubah besar yang boleh memanfaatkan apa yang ada di Malaysia, Johor dan Singapura.
"Kedua-dua projek akan meningkatkan aliran rentas sempadan rakyat, barangan dan pelaburan dan membawa negara kita rapat dan akhirnya, memberi manfaat kepada Malaysia dan Singapura," katanya.
Mengenai JS-SEZ, Wong berkata kedua-dua negara mempunyai semua yang diperlukan bagi kejayaan zon ekonomi itu.
Dalam pada itu, mengulas keadaan semasa hubungan dua hala Singapura dan Malaysia, beliau menyifatkan kedua-dua negara dalam keadaan baik dengan kemajuan yang lancar.
“Malah, ada potensi untuk kita berusaha lebih banyak lagi secara bersama di masa depan," katanya.
Pada 2023, Malaysia dan Singapura merupakan rakan dagang global kedua terbesar bagi satu sama lain.
Selain itu, Singapura juga adalah rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara ASEAN dengan dagangan bernilai RM363.13 bilion (US$79.60 bilion).
Wong juga menyifatkan persaingan sebenar terletak di luar sempadan Malaysia dan Singapura berikutan kedudukan dua negara itu di rantau Asia Tenggara dan global yang luas.
“Walaupun kedua-dua ekonomi dan rakyat kita sering dilihat sebagai pesaing, namun pada hakikatnya, kita saling melengkapi antara satu sama lain secara ketara.
“Oleh itu, jika kita boleh maju dengan perancangan induk yang baik, dasar jelas serta konsisten di sekitar JS-SEZ dan RTS, bagi saya, ini akan membuka banyak manfaat ekonomi untuk kedua-dua belah pihak demi rakyat selain dapat merealisasikan potensi kerjasama ini.
“Apa yang kita lakukan, (baik) antara Singapura dan Malaysia serta antara Johor dan Singapura, adalah sepertimana dalam banyak perkara, apa yang ASEAN perlu lakukan untuk mengukuhkan integrasi ekonomi kita sebagai satu komuniti,” katanya.
Sehubungan itu, Wong berharap Singapura dan Malaysia dapat menyediakan teras kukuh untuk komuniti ASEAN yang lebih kukuh serta bersepadu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial