EKONOMI

BNM SEDANG TELITI PELBAGAI LANGKAH UNTUK KESTABILAN RINGGIT- TIMBALAN GABENOR

12/06/2024 02:47 PM

KUALA  LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) sedang meneliti pelbagai langkah dan inisiatif lain yang boleh dilakukan untuk memastikan ringgit kekal stabil dan disokong, termasuk melibatkan kerjasama syarikat korporat bagi membawa pulang pendapatan mereka ke dalam pasaran.

Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata bank pusat telah berbincang dengan beberapa syarikat korporat yang mempunyai baki mata wang asing bahawa mereka digalakkan membawa pulang dan menukar mata wang asing mereka.

“Kita akan memberi kelulusan kepada mereka untuk melabur di luar negara apabila sampai masanya. Jika mereka perlu melabur di luar negara dan telah menyusun pelaburan, maka mereka boleh datang kepada kita untuk mendapatkan kelulusan.

“Kita telah berjanji dengan mereka bahawa BNM akan memudahkannya,” katanya semasa sesi panel ‘Ringgit, Bon dan Pasaran Ekuiti' di Simposium Sasana Bank Negara Malaysia 2024 di sini, pada Rabu.

Beliau berkata BNM bekerjasama rapat dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan syarikat asing sejak Februari untuk membawa pulang pendapatan asing dan usaha itu telah banyak memberi manfaat kepada Malaysia.

“Jika anda meneliti prestasi ringgit ketika BNM memulakan usaha itu dan hari ini, mata wang tempatan telah mencapai prestasi baik dan meningkat berbanding dolar AS (Amerika Syarikat) sebanyak hampir 1.2 peratus sekarang,” katanya.

Adnan Zaylani berkata walaupun ringgit mengukuh berbanding beberapa mata wang asing, unit domestik juga rendah berbanding beberapa mata wang asing lain sejak dua tahun lepas apabila Rizab Persekutuan AS (Fed) mula menaikkan kadar faedah.

“Oleh itu, perkara tersebut perlu dimasukkan ke dalam konteks keseluruhan yang memacu prestasi. Faktor lain ialah isu geopolitik semasa yang terus menimbulkan ketidaktentuan serta prospek pertumbuhan China,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Timbalan Gabenor berkata terdapat jangkaan yang Fed menurunkan kadar faedah tahun ini sekali gus keadaan itu akan menggalakkan bagi ringgit.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan