SUKAN

MUHAMMAD SAFWAN ENGGAN DABIK DADA

12/06/2024 02:00 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Pemain pertahanan tengah negara Muhammad Safwan Mazlan mengakui masih perlu memperbaiki mutu permainannya walaupun dikatakan menyerlah dalam dua aksi terakhir Harimau Malaya masing-masing bertemu Kyrgyzstan dan Taiwan baru-baru ini.

Muhammad Safwan berkata akan terus bekerja keras sambil menyasarkan untuk menampilkan aksi lebih baik pada kempen Kejohanan ASEAN 2024 yang sebelum ini dikenali Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) yang bermula hujung November ini.

Menurut pemain muda Terengganu FC itu yang membuat debut antarabangsa ketika Malaysia seri 1-1 menentang Kyrgyzstan di Bishkek minggu lepas, beliau tidak berdepan kesukaran untuk memahami kehendak ketua jurulatih Kim Pan Gon setakat ini.

“Bagi saya tak 100 peratus saya main baik malam ini (malam semalam), mungkin untuk Piala AFF kalau diberi peluang untuk bermain mungkin saya akan beri yang terbaik lagi.

“Alhamdulillah saya boleh buat benda yang coach suruh, semua okey bagi saya tetapi mungkin ada kesilapan yang perlu diperbaiki untuk saya maju lagi ke depan,” kata pemain berusia 22 tahun itu ketika ditemui selepas Malaysia menewaskan Taiwan 3-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini.

Pada pertemuan dengan Taiwan dalam aksi terakhir Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 itu, Muhammad Safwan sekali lagi diberi kepercayaan untuk bergandingan dengan Dominic Tan di bahagian tengah pertahanan dalam kesebelasan utama Harimau Malaya.

Muhammad Safwan merasakan peluang yang diberikan Pan Gon itu menyuntik keyakinannya sebagai pemain muda.

“Sebab saya baru kali pertama naik ke pasukan senior, mungkin (selepas ini) dengan sokongan daripada keluarga dan penyokong mungkin saya lebih ke depan,” tambah pemain yang pernah menyarung jersi skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan