DUNIA

PRABOWO MENGHADAP RAJA ABDULLAH II UNTUK BINCANG BANTUAN KEMANUSIAAN GAZA

11/06/2024 06:15 PM

JAKARTA, 11 Jun (Bernama) -- Presiden Terpilih Indonesia merangkap Menteri Pertahanan Prabowo Subianto pada Isnin menghadap Raja Jordan, Raja Abdullah II di Amman untuk membincangkan bantuan kemanusiaan dan perlindungan untuk warga Gaza.

Pertemuan itu merupakan sebahagian daripada aktiviti Prabowo yang mewakili Presiden Joko Widodo di Persidangan Peringkat Tinggi “Panggilan Untuk Bertindak: Respons Kemanusiaan Segera untuk Gaza"  yang diadakan pada Selasa.

Semasa pertemuan itu, Prabowo menekankan peranan Jordan sebagai satu daripada rakan kongsi paling aktif Indonesia dalam memperjuangkan isu rakyat Palestin.

"Kerajaan Indonesia sedang memantau dengan teliti situasi yang semakin merosot di Gaza. Jumlah korban dan kecederaan terus meningkat. Indonesia amat prihatin dengan keadaan yang sangat rentan di Gaza," menurut Prabowo dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Raja Abdullah II menzahirkan rasa terima kasih dan penghargaan atas kehadiran Prabowo di Jordan bagi pihak Presiden Jokowi pada persidangan itu.

Kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam menyelaras dan meningkatkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Raja Abdullah II menegaskan kepentingan Persidangan Peringkat Tinggi mengenai Gaza dalam menyatukan usaha untuk menyelaras dan meningkatkan bantuan kemanusiaan ke wilayah itu serta menekankan keperluan untuk gencatan senjata segera di Gaza dan perlindungan terhadap orang awam.

Raja Jordan juga mengalu-alukan usaha Indonesia untuk mempromosikan keamanan di rantau berkenaan dan sokongannya terhadap Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Baginda bertitah supaya keperluan untuk satu ufuk politik diberikan penekanan bagi mencapai keamanan yang adil dan menyeluruh berdasarkan penyelesaian dua negara, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan