AM

LAPAN MANGSA NAHAS BAS MASIH DIRAWAT DI HOSPITAL

11/06/2024 04:42 PM

PEKAN, 11 Jun (Bernama) -- Sebanyak lapan mangsa kemalangan bas persiaran di Jalan Kuantan-Segamat, Rompin pada Ahad masih menerima rawatan di hospital di Kuantan, Segamat dan Melaka, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata lima mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan,  Hospital Segamat, Johor (dua) dan satu di pusat perubatan swasta di Melaka, manakala 27 mangsa yang cedera sudah dibenarkan pulang. 

“Lima mangsa yang dirawat di HTAA berada di wad biasa dalam keadaan stabil dengan seorang pesakit masih tidak boleh bergerak kerana mengalami patah tulang vertebra L1-L4 (manakala) seorang pesakit telah dipasang tiub dada kerana mengalami kecederaan paru-paru. 

“Dua pesakit masih perlu pemantauan kerana mengalami patah pada tulang vertebra dan tulang rusuk dan seorang pesakit masih diletakkan kolar leher kerana mengalami kecederaan di tulang serviks,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini mangsa kemalangan nahas tersebut selepas melakukan lawatan kerja di Pejabat Kesihatan Daerah Pekan, Pahang di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang Datuk Dr Rusdi Abd Rahman.

Dalam nahas jalan raya itu, empat maut manakala 35 cedera selepas bas yang dalam perjalanan membawa rombongan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras terbabit dalam kemalangan.

Mangsa yang maut ialah Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Hasnatul Adilah Hassan, 48, pemandu kedua bas Hadi Asyraf Mad Idris, 29, pembantu operasi sekolah Hamzah Ahmad, 60 dan guru, Dahlia Ahmad, 52.

Bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu dilaporkan terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan merempuh sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan