BERITA TERGEMPAR   PRK Nenggiri: Jentera PH akan digerakkan bantu kempen calon BN- Fahmi | 
 AM

UKM PERKUKUH TAWARAN PROGRAM AKADEMIK DALAM, LUAR NEGARA DI DUA BUAH KAMPUS PESISIR

11/06/2024 10:21 AM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal menawarkan program akademik di dalam dan luar negara dengan penubuhan Kampus Pesisir Jakarta dan Kampus Pesisir China.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata beberapa program berpotensi telah dikenal pasti untuk ditawarkan sebagai program dwi ijazah atau dual ijazah di kedua-dua buah kampus berkenaan.

“Projek pembinaan kampus di Jakarta sedang dalam proses dan dijangka siap sepenuhnya sebelum atau semasa semester kedua pengambilan 2024 bermula, manakala kampus persisir di China bakal mengambil pelajarnya pada sesi akademik 2025/2026.

“Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape) selaku penyelaras projek mengadakan perbincangan dan bengkel bersama pihak fakulti dengan universiti yang terlibat untuk memastikan kemampuan program-program ini dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kampus Pesisir Jakarta melibatkan kerjasama UKM dengan Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk menawarkan program ijazah.

Manakala penubuhan Kampus Pesisir China melibatkan kerjasama UKM bersama institusi pengajian tinggi China dalam aspek penawaran program akademik, penyelidikan, latihan industri dan program mobiliti.

Mohd Ekhwan berkata tidak ada pelaburan yang lebih menguntungkan selain daripada pendidikan, malah UKM telah bertindak merentas benua dan sempadan untuk menyediakan peluang pendidikan kepada segenap lapisan masyarakat dunia.

Selain itu, beliau berkata kerjasama UKM dengan Sunway University, Universitas Padjadjaran (UNPAD) di Bandung, Indonesia dan Maldives National University (MNU) turut diperkukuhkan melalui perlesenan kurikulum dan program sangkutan.

“Kerjasama antara UKM dan Sunway University dalam bidang perubatan melibatkan perlesenan Program Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan kepada universiti itu.

“Ia juga melibatkan penubuhan, pelaksanaan dan pemantauan program perubatan di Pusat Pengajian Perubatan dan Sains Hayat, Sunway University di mana UKM bakal menyediakan sukatan pelajaran dan bahan-bahan pengajian yang berkaitan untuk program ini bagi tempoh enam tahun,” katanya.

Beliau berkata program perubatan di Sunway University itu mampu menampung seramai 50 pelajar bagi satu kohort dengan segala kemudahan disediakan universiti berkenaan manakala pemantauan dilaksanakan UKM yang diselaraskan UKMShape dan Fakulti Perubatan UKM menerusi pelantikan penyelaras fakulti, pegawai penyelia dan Perunding Akademik Utama.

Mohd Ekhwan berkata kerjasama UKM dengan MNU dalam program pelesenan kurikulum Ijazah Doktor Perubatan pula telah dilaksanakan sejak 2019 dan menampung antara 20 hingga 30 pelajar setiap kohort.

“Sementara itu, kerjasama bersama UNPAD telah berlangsung sejak 2008 bagi program dwi ijazah Doktor Perubatan dengan kapasiti 50 pelajar bagi setiap kohort.

“Kemudahan disediakan oleh kedua-dua buah universiti dengan pelajar menjalani latihan praklinikal di UNPAD dan klinikal di UKM.

“Pada tahun ini, UKM juga akan memulakan program sangkutan klinikal Jabatan Obstetrik dan Ginekologi dengan UNPAD yang akan melibatkan pelajar pasca siswazah yang menjalani latihan di kedua-dua universiti yang terlibat,” katanya.

Mohd Ekhwan berkata dengan pelbagai kerjasama dan inisiatif itu, UKM terus menunjukkan komitmennya dalam memperkukuh penawaran program akademik selain memperluas capaian globalnya, sekali gus meningkatkan peluang pendidikan tinggi yang berkualiti untuk pelajar di Malaysia seterusnya di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan