AM

SIRAJ PUTRA SPECIALIST CENTRE AKAN DIBINA DI PUTRA MEDICAL CITY

10/06/2024 02:53 PM

PUTRAJAYA, 10 Jun (Bernama) -- Sebuah pusat perubatan pakar, Hospital Siraj Putra Specialist Centre dengan kapasiti 300 buah katil dan dianggarkan bernilai RM400 juta akan dibina di Putra Medical City, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.

Pembinaan hospital swasta di atas kawasan seluas 2.08 hektar yang menawarkan pelbagai kepakaran itu dijangka bermula Januari tahun depan dan fasa pertama hospital itu dijangka beroperasi pada Julai 2027.  

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan  Projek Pembangunan Hospital Siraj Putra Specialist Centre di Le Meridien, Putrajaya hari ini.

Pada program itu, baginda turut berkenan menyaksikan majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sirage Medco Sdn Bhd diwakili Pengarah Eksekutif Sirage Medco Sdn Bhd Asrul Muniff Azizan dan YT Medical City Sdn Bhd diwakili Pengarah YT Medical City Sdn Bhd Ar. Azhar Zahari.

Pengerusi Sirage Medco Sdn Bhd Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail berkata pembangunan hospital itu merupakan kolaborasi bersama YT Medical City Sdn Bhd yang merupakan pemaju utama bagi seluruh kawasan Putra Medical City.

Syed Razlan berkata projek ini dijangka menjadi pemangkin dan pelopor untuk Universiti Putra Malaysia serta menjadi model pembangunan mampan bagi universiti awam lain dalam meningkatkan pendapatan universiti.

“Kita akan melihat peningkatan pendapatan yang konsisten untuk UPM sebaik sahaja projek ini beroperasi dan seterusnya memacu perkembangan lebih mampan bagi komuniti setempat.

“Komitmen kami bersama YT Medical City Sdn Bhd sebagai pemaju utama adalah untuk membuka potensi set UPM, meningkatkan pendapatan universiti setiap tahun dengan pendekatan yang berstruktur dan berterusan,” katanya.

Menurut Syed Razlan pembinaan hospital ini bukan hanya semata-mata tentang pembangunan infrastruktur tetapi juga tentang membina legasi berterusan yang bermanfaat bagi UPM bagi jangka panjang walaupun setelah kontrak kami dengan pemaju utama berakhir.

Beliau berkata hospital pakar ini apabila siap dan beroperasi kelak akan mempunyai 300 katil iaitu 150 katil bagi fasa pertama dan 150 katil pada fasa kedua. 

“Khidmat hospital pakar ini akan meliputi penduduk di sekitar Serdang Lama dan Seri Kembangan di bawah Majlis Bandaraya Subang Jaya. la juga akan meliputi penduduk di Putrajaya, Sepang, Kajang dan Seremban.

“Hari ini, kita meletakkan batu asas bukan sahaja untuk sebuah pusat perubatan pakar, tetapi juga untuk masa depan yang lebih cerah di mana pendidikan dan penjagaan kesihatan berintegrasi untuk memajukan kesejahteraan komuniti setempat, UPM dan negeri Selangor,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan