EKONOMI

Sasaran Bsn Pupuk Tabiat Menabung Capai Kejayaan Melalui Bsn Ssp

10/06/2024 12:59 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Sasaran Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk memupuk tabiat menabung yang berdisiplin dalam kalangan masyarakat mencapai kejayaan yang ketara melalui Sijil Simpanan Premium BSN (BSN SSP).

Ketua pegawai perniagaannya Mujibburrahman Abd Rashid berkata kemajuan tersebut dapat dilihat melalui bilangan penyimpan yang menyertai BSN SSP apabila setakat ini sejumlah 4.75 juta individu dengan nilai simpanan RM5.28 bilion berjaya direkodkan.

Menurutnya, angka-angka ini memperlihatkan populariti meluas dan impak ketara BSN SSP dalam memperkasakan rakyat Malaysia untuk memupuk tabiat menabung, membina kekayaan dan menjamin masa depan kewangan mereka.

“Dengan membuat simpanan secara konsisten, peserta BSN SSP bukan sahaja memupuk tabiat menabung yang berdisiplin tetapi juga mendapat akses kepada ganjaran yang berpotensi mengubah hidup.

“Salah satu ciri paling ketara SSP ialah cabutan istimewa bulanan, yang mana peserta berpeluang memenangi hadiah wang tunai, termasuk hadiah utama RM1 juta,” katanya kepada Bernama.

Mujibburrahman berkata pada Jun tahun ini pemenang ke-100 BSN SSP telah dinobatkan yang mana 10 kategori dan dua cabutan diperkenalkan antaranya cabutan ulang tahun BSN ke-50 dan cabutan khas guru dan pekerja barisan hadapan.

"Hadiah bernilai RM1 juta bagi kategori cabutan jutawan khas akan berlangsung pada dua bulan iaitu cabutan November dikhaskan untuk guru dan pekerja barisan hadapan manakala cabutan Disember bagi hadiah BSN SSP.

"BSN SSP Platinum turut ditawarkan dengan kadar keuntungan sehingga 2.50 peratus untuk simpanan bagi 12 bulan," katanya.

Beliau berkata dengan meraikan jutawan SSP ke-100, BSN menegaskan semula peranan SSP sebagai pemangkin pemerkasaan ekonomi dan rangkuman kewangan di Malaysia.

 

BSN SSP BERI HARAPAN TANGANI CABARAN EKONOMI SEMASA

 

Mujibburrahman berkata dalam menghadapi pelbagai cabaran ekonomi, BSN SSP muncul sebagai mercu tanda harapan dan peluang untuk rakyat Malaysia, khususnya yang berada dalam segmen B40 dan M40, untuk meningkatkan keadaan sosioekonomi mereka.

“BSN SSP, dengan ciri dan faedah uniknya, direka dengan teliti untuk menangani keperluan kewangan, akses kepada pembiayaan, dan memupuk pengurusan kewangan pintar melalui peluang simpanan yang berstruktur, potensi penciptaan kekayaan, serta rangkuman kewangan dan celik kewangan.

“Pada asasnya, BSN SSP memperkasakan individu dan keluarga untuk membina masa depan yang lebih terjamin dan sejahtera untuk diri sendiri dan orang tersayang,” katanya.

Hasilnya, kejayaan 100 peserta BSN SSP yang telah mencapai status jutawan menjadi inspirasi kepada orang lain dalam masyarakat, katanya.

Sebagai contoh, Mujibburrahman berkata, menerusi BSN SSP, kesemua pemenang mengalami detik perubahan hidup yang menyaksikan BSN memperkasakan mereka dari segi kewangan serta memberi rangsangan bagi kewangan mereka pada masa depan.

Menurutnya, antaranya kisah kejayaan yang menjadi inspirasi adalah seorang pesara pegawai kastam dari Kepala Batas dan peniaga makanan putu buluh yang masing-masing memenangi cabutan RM1 juta pada awal 2024.

 

SUMBANGAN BSN KEPADA MASYARAKAT, PEMBANGUNAN NEGARA

 

Semua inisiatif BSN menumpukan kepada pembangunan negara yang mengutamakan rakyat.

Mujibburrahman berkata sepanjang tempoh 50 tahun lepas, BSN berpeluang membina komuniti melalui produk pembiayaan dan simpanan yang menggalakkan rakyat Malaysia melabur untuk masa depan mereka.

“Melalui produk BSN, kami dapat memastikan akses kepada pembiayaan, menambah baik rangkuman kewangan dan meningkatkan celik kewangan.

“Pada masa lalu dan sekarang, kehadiran kami kukuh dalam masyarakat bandar dan luar bandar melalui 387 cawangan kami,“ katanya lagi.

Beliau berkata, BSN juga meraih beberapa pencapaian penting yang telah memberi sumbangan ketara kepada pembangunan Malaysia melalui sokongan kepada usahawan, pemerkasaan belia, perbankan inovatif dan tanggungjawab sosial korporat.

“Dengan menyediakan akses kepada pembiayaan, program pembinaan kapasiti, dan rangkaian pasaran, BSN telah memperkasakan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro untuk berkembang maju dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan.

“Melalui pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan kemahiran anak muda Malaysia, BSN telah meletakkan asas untuk tenaga kerja yang berpengetahuan dan berdaya saing, memacu kemajuan ekonomi jangka panjang,” kata Mujibburrahman.

Selain itu, beliau berkata, BSN telah menerima teknologi dan inovasi untuk meningkatkan pengalaman pelanggan, menyelaraskan operasi dan menggalakkan rangkuman kewangan.

“Pencapaian ini menggariskan peranan BSN sebagai pemangkin pembangunan sosio-ekonomi di Malaysia, memacu pertumbuhan inklusif, memupuk keusahawanan, dan memperkasakan komuniti di seluruh negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan