AM

Maha 2024 Medan Perkongsian Teknologi Pertanian Peringkat Global, Sasar Tiga Juta Pengunjung

09/06/2024 01:16 PM

SERDANG, 9 Jun (Bernama) -- Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 pada Sept depan akan menjadi medan perkongsian teknologi pertanian peringkat global dengan sasaran kehadiran tiga juta pengunjung. 

MAHA 2024 yang akan berlangsung di Taman Expo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini pada 11 hingga 22 Sept ini memberi penekanan kepada elemen seperti daya tahan sektor keterjaminan makanan serta menarik minat golongan muda dalam sektor pertanian. 

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Lokman Hakim Ali berkata dalam meraikan 100 tahun penganjuran, MAHA 2024 akan membawa masuk syarikat berteknologi tinggi seperti China dan Thailand untuk berkongsi teknologi dan kemahiran.  

“Kita lihat penggunaan kecerdasan buatan (AI), internet benda (IoT) dan teknologi yang  berproduktiviti tinggi akan menarik belia menceburi bidang pertanian.

“Kita lihat teknologi moden dalam pertanian seperti ‘smart farming’ merupakan satu cara kita meningkatkan produktiviti tanaman, menyumbang peningkatan hasil besar pertanian dan juga tahap sara diri di peringkat pertanian sama ada ternakan atau akuakultur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan MAHA Fun Run 2024 dan sambutan karnival setahun jualan agro MADANI sempena majlis pra peluncuran MAHA 2024 di sini hari ini.

Lokman Hakim berkata MAHA 2024 menjanjikan sesuatu yang istimewa buat pemegang taruh industri pertanian serta orang ramai yang meminati sektor tersebut.

“Tahun ini tiga dewan (di MAEPS) telah penuh. Kita masih dapat permintaan daripada syarikat industri tempatan, kedutaan dan syarikat antarabangsa daripada negara ASEAN dan timur tengah untuk mereka bersama dalam showcase ini.

“(Mereka) ingin pamer keupayaan teknolgi masing-masing dan ini perkembagan positif dan memberi manfaat tinggi kepada pemegang taruh industri dalam bidang pertanian,” katanya. 

Beliau berkata pihaknya turut memperkasa aktiviti mempromosi MAHA 2024 kepada kumpulan sasar antaranya menerusi program seperti MAHA Fun Run 2024 hari ini dengan kehadiran lebih 1,000 peserta. 

Sementara itu seorang peserta pagi ini Mohd Jolharry Abdul Razak , 37, berkata beliau amat menantikan penganjuran MAHA 2024 kerana ia dijangka lebih meriah dengan pameran teknologi terkini dalam bidang pertanian. 

“MAHA 2024 kali ini saya lebih teruja untuk lihat sendiri agriculture yang lebih hebat selari Revolusi Industri (IR 4.0),” katanya selepas menyertai MAHA Fun Run 2024. 

Bagi Nik Nur Zamzaharah Nik Sin, 42, pula penganjuran MAHA 2024 membuka peluang kepada rakyat Malaysia mengenali produk pertanian tempatan dengan lebih dekat selain ia membuka peluang perniagaan.

“Saya jangka MAHA 2024 kali ini lebih meriah, ia diadakan lepas pandemik COVID-19… dahulu kehadirannya terhad dan sekarang semua boleh hadir,” katanya.

MAHA diperkenalkan sejak 1923. MAHA 2022 sebelum ini merekodkan kehadiran lebih 1 juta pengunjung dengan 33 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) bernilai RM5.64 bilion ditandatangani.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan