AM

Tiada Lagi Politik Kayu Balak Di Sarawak - Abang Johari

08/06/2024 05:42 PM

SERIAN, 8 Jun (Bernama) -- Sarawak yang dahulunya bergantung kepada hasil eksport kayu balak sebagai sumber pendapatan sehingga mewujudkan apa yang dikatakan sebagai politik kayu balak, kini sudah melangkah ke satu era baru yang mengutamakan usaha restorasi kawasan hutan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak kini sudah memasuki era menjadikan restorasi hutan ini sebagai penjana pendapatan baharu kepada Sarawak, khususnya dalam perdagangan karbon dunia.

“Pendapatan kita dulu bergantung kepada kayu balak, sebab itu politik dahulu adalah politik kayu balak. Sekarang kita ubah, kita tidak bergantung kepada kayu (balak),” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2024 peringkat Sarawak di Pusat Agroperhutanan Sabal, kira-kira 60 kilometer dari sini, hari ini.

Menurutnya kerajaan Sarawak juga berjaya mengurangkan kadar pembalakan di negeri itu sebanyak kira-kira dua juta meter padu setahun hasil dasarnya untuk mematuhi keperluan pensijilan pengurusan hutan untuk kedua-dua hutan asli dan hutan ladang.

“Saya mahu industri (pemain) tahu mengapa kita mengurangkan eksport kayu balak, mengapa kita tidak menggalakkan penebangan pokok balak, kerana sekarang kita mempunyai alternatif untuk (membangunkan) ekonomi kita," katanya.

Abang Johari berkata dasar yang diambil Sarawak sekarang turut membolehkannya mengekalkan kira-kira 62 peratus kawasan hutan di negeri ini.

Menurutnya Sarawak kini mempunyai 26 Unit Pengurusan Hutan yang telah dipersijilkan merangkumi keluasan 2.38 juta hektar dan tujuh Unit Pengurusan Ladang Hutan meliputi keluasan 97,966 hektar.

Dalam pada itu, Abang Johari menyatakan penghargaan beliau kepada Jabatan Hutan Sarawak kerana cemerlang bukan sahaja dalam usaha konservasi hutan tetapi dalam menambah nilai dan pendekatan baru bagi mengimbangi pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar.

Beliau turut bersetuju dengan cadangan Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datuk Hamden Mohamad untuk membangunkan Pusat Agroperhutanan Sabal itu sebagai sebuah pusat pelbagai guna, khususnya bagi tujuan penyelidikan hutan, aktiviti rekreasi dan pelancongan.

Menurutnya pembangunan pusat berkenaan yang dianggarkan menelan kos RM50 juta itu mampu menjadi antara destinasi tarikan di Serian apabila ia disiapkan kelak sebagai projek jabatan itu di bawah Rancangan Malaysia ke-13.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan