EKONOMI

PERUNCIT E-DAGANG MALAYSIA DIGESA MENERIMA GUNA PLATFORM DIGITAL UNTUK KELEBIHAN DAYA SAING - GOBIND

07/06/2024 06:18 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Peruncit e-dagang Malaysia sama ada besar atau kecil, perlu memanfaatkan platform digital dan kekal berdaya saing dengan menerima guna saluran dan teknologi terkini seiring dengan pengembangan pasaran dalam talian.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata dengan kemajuan teknologi yang pesat dan landskap pasaran yang berubah-ubah, perusahaan runcit Malaysia perlu sentiasa mendahului pesaing mereka dengan menerima guna 5G dan pendigitalan.

“Bagi perniagaan e-dagang, pendigitalan bukan sahaja membawa peluang untuk perniagaan baharu dan hasil pendapatan dengan membuka pasaran melangkaui sempadan geografi, tetapi juga membawa persaingan yang lebih sengit daripada pemain di seluruh rantau ini,” katanya.

Gobind berkata demikian menerusi ucapan beliau pada pelancaran kerjasama antara Digital Nasional Bhd (DNB) dan Shopee Malaysia, di sini, hari ini.

Kerjasama tersebut adalah bertujuan untuk memacu penerimagunaan 5G dan pendigitalan dalam kalangan peruncit dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). 

Menurut laporan Jabatan Perangkaan 2022, PMKS memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia, menggaji 7.6 juta pekerja dan menyumbang 38 peratus, atau kira-kira RM580 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Merujuk kepada data tersebut, Gobind menekankan bahawa impak ekonomi dan sosial sektor itu terhadap Malaysia adalah besar, justeru penting untuk memastikan PMKS kekal berdaya saing dan mempunyai persediaan yang baik bagi masa hadapan.

Menurutnya, kerjasama hari ini antara DNB dan Shopee akan menyaksikan penjual PMKS memanfaatkan kesalinghubungan 5G yang pantas dengan pendaman rendah, yang akan menyediakan pengalaman membeli-belah masa nyata yang lancar.

“Inisiatif sebegini benar-benar selari dengan visi Kementerian Digital dan kerajaan MADANI untuk mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara digital,” katanya.

Gobind berkata platform dan penjual e-dagang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik tentang corak pembelian pelanggan.

“Dengan menggunakan algoritma lanjutan, AI membantu perniagaan memahami gelagat pembelian pelanggan, menetapkan ramalan permintaan, mengoptimumkan strategi harga dan menambah baik pengurusan inventori. 

“Gabungan teknologi digital termaju dan ikhtiar penjual dalam talian Malaysia bermakna industri runcit kita boleh mencapai kejayaan lebih besar. Peluang untuk berkembang ada tersedia, malah bagi peniaga dan usahawan mikro, yang kini boleh mengimpikan untuk berkembang ke persada global,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan