AM

Pusat Perubatan Sunway Terus Terajui Pediatrik, Cemerlang Dalam Penjagaan Kesihatan Khusus

07/06/2024 09:51 AM

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), hospital kuaternari utama di bawah Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway (SHG), kekal pada kedudukan teratas bagi perkhidmatan Pediatrik di Malaysia dalam ranking Hospital Khusus Terbaik Asia Pasifik Newsweek 2024.

Berada pada kedudukan ke-26 untuk perkhidmatan Pediatrik di Asia Pasifik, SMC turut membuat kemunculan sulung dalam kategori Neurosurgeri dan Pembedahan Jantung iaitu pada kedudukan 75 hospital terbaik di rantau Asia Pasifik, selain menambah baik kedudukan dalam kategori Onkologi, Neurologi dan Kardiologi.

“Kami berasa amat sukacita kerana perkhidmatan Pediatrik kami diiktiraf di peringkat serantau, memandangkan Pusat Perubatan Sunway mengendalikan Jabatan Kecemasan Kanak-kanak yang pertama di negara ini dalam kalangan hospital swasta dan telah menerima kunjungan lebih 22,000 pesakit sejak tahun 2023.

"Pusat sehenti yang diperkenalkan bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan bayi, kanak-kanak dan remaja ini digerakkan oleh 45 doktor pakar pediatrik meliputi 24 bidang subkepakaran kanak-kanak,” kata Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, Datuk Lau Beng Long.

Ketua Pegawai Eksekutif SMC Dr. Seow Vei Ken berkata prestasi yang konsisten dan pengiktirafan itu mencerminkan kerja keras serta komitmen pasukan yang berdedikasi dalam menyediakan penjagaan kesihatan bertaraf dunia.

“Pengiktirafan ini menekankan usaha berterusan kami untuk mencapai kecemerlangan dalam penjagaan kesihatan sekali gus menjadi pemangkin kepada kami untuk terus meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan menginovasikan perkhidmatan perubatan khusus bagi memenuhi keperluan pesakit yang pelbagai,” katanya.

SMC merupakan sebuah hospital kuaternari swasta terbesar di negara ini dengan 724 katil berlesen dan mempunyai kapasiti untuk berkembang kepada 1100 katil apabila blok keenam, Menara F dalam kampus hospital siap.

Ranking Hospital Khusus Terbaik Asia Pasifik 2024 mengenal pasti dan memberi penghormatan kepada hospital awam, hospital pengajar/ akademik dan swasta terbaik di rantau Asia Pasifik yang mempunyai kepakaran dalam bidang Kardiologi, Pembedahan Jantung, Endokrinologi, Neurologi, Neurosurgeri, Onkologi, Ortopedik, Pediatrik dan Pulmonologi.

Penganugerahan itu mengiktiraf hospital terbaik di sembilan negara dan wilayah iaitu Australia, India, Indonesia, Jepun, Malaysia, Singapura, Korea Selatan, Taiwan dan Thailand.

Sebelum ini SMC diumumkan sebagai satu daripada hospital Malaysia pertama yang disenaraikan dalam 250 hospital terulung dunia dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024, yang menilai hospital di seluruh dunia dalam bidang kecemerlangan klinikal, penyelidikan dan inovasi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan