AM

MALAYSIA SASAR TAMPIL SEKURANG-KURANGNYA 40 KES PENGGUNAAN RANGKAIAN PERSENDIRIAN 5G

06/06/2024 04:16 PM

PUTRAJAYA, 6 Jun (Bernama) -- Malaysia merancang untuk menampilkan sekurang-kurangnya 40 kes-kes penggunaan rangkaian persendirian 5G dalam sektor-sektor seperti pembuatan, minyak dan gas, logistik, penjagaan kesihatan dan perladangan menjelang waktu negara mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN pada 2025.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata pekembangan rangkaian 5G Malaysia cukup pantas, mencapai sehingga lebih 80 peratus liputan kawasan berpenduduk dalam tempoh dua tahun selepas perkhidmatan itu dilancarkan.

"Usaha berterusan untuk mempercepatkan penggunaan 5G dalam kalangan pelbagai perusahaan adalah penting untuk transformasi digital Malaysia. Ia meletakkan Malaysia sebagai peneraju 5G semasa Malaysia menjadi pengerusi ASEAN 2025, dan mengukuhkan pegangan kita terhadap pelaburan serta faedah berkaitan digital di rantau ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata rangkaian 5G Malaysia telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan daripada firma analisis internet global seperti OOKLA, Opensignal dan Glotel.

Menjelang akhir April 2024, Malaysia mempunyai lebih 13 juta pelanggan 5G, bersamaan dengan kadar penembusan 40 peratus.

"Semasa pengguna akan mendapat manfaat daripada kelajuan lebih pantas dan pengalaman mudah alih yang dipertingkatkan melalui 5G, penggunaan teknologi oleh perusahaan akan menjadi transformatif. Ia akan merevolusikan operasi perniagaan, kerjasama dan inovasi," katanya.

Gobind berkata Digital Nasional Berhad (DNB) bekerjasama dengan kerajaan, kementerian berkaitan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), syarikat telekomunikasi dan perusahaan untuk mempromosikan penggunaan teknologi 5G dalam semua industri Malaysia.

Pada masa ini terdapat 12 projek perusahaan yang melibatkan percubaan 5G merentas pelbagai sektor, termasuk pembuatan, minyak dan gas, logistik, penjagaan kesihatan dan perladangan.

"Di sebalik percubaan awal ini, terdapat minat yang ketara daripada perusahaan di seluruh negara ketika mereka memulakan perjalanan dalam pendigitalan operasi mereka. Lebih 90 projek dan kes penggunaan lain berada dalam pelbagai peringkat pembangunan, dengan 30 dijangka beroperasi menjelang akhir tahun," katanya.

Gobind menyebut bahawa DNB menyasarkan untuk menyediakan rangkaian 5G kepada 237 taman perindustrian utama di seluruh negara, meningkatkan produktiviti dengan ketara dan menarik pelaburan yang lebih besar.

DNB juga bekerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mengenal pasti perusahaan dalam taman perindustrian dan zon ekonomi untuk memulakan perjalanan pendigitalan 5G mereka.

Beliau berkata sehingga April 2024, liputan 5G telah diwujudkan di 95 taman perindustrian di seluruh Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan