Oleh Anas Abu Hassan
TAIPEI, 6 Jun (Bernama) -- Synology Inc. mengunjurkan pengekalan pertumbuhan dua angka di Malaysia bagi perniagaan perusahaan syarikat itu tahun ini berikutan pelancaran produk terbaharunya.
Pengurus Negara Synology Malaysia, Jason Sin berkata syarikat pengurusan data yang pakar dalam storan terpasang rangkaian (NAS) percaya bahawa keperluan untuk pengurusan data yang lebih baik dan penyelesaian sandaran bagi perusahaan di negara ini akan melonjakkan pertumbuhan syarikat itu kepada anggaran 50 peratus dari tahun ke tahun.
“Produk Synology yang paling popular di kalangan pelanggan perusahaan ialah penyelesaian sandaran dan lebih daripada 30 peratus hasil kami datang daripada perniagaan perusahaan, terutamanya untuk penyelesaian sandaran pada tahun lepas.
“Kami akan mengeluarkan lebih banyak produk merangkumi peralatan penyelesaian sandaran, yang mana ini dijangka akan meningkatkan lebih banyak liputan di pasaran perusahaan untuk tahun ini dan bergerak ke hadapan,” katanya kepada Bernama.
Sin ketika mengulas lanjut menyatakan Synology akan menumpukan pada pengembangan perniagaan perusahaannya dengan menawarkan pengurusan data yang lebih berdedikasi termasuk penyelesaian sandaran untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang mewakili 70 peratus daripada portfolio pelanggannya.
“Dari segi industri, kami memberi tumpuan kepada sektor awam serta pembuatan selain institusi profesional yang memerlukan pengurusan data dan penyelesaian sandaran yang baik,” tambahnya.
Pameran Penyelesaian Synology 2024
Synology yang berpangkalan di Taiwan itu sedang menampilkan perlindungan data termaju, pengurusan data dan penyelesaian pengawasannya di Pameran Penyelesaian Synology 2024, dari 4 hingga 7 Jun di Pusat Muzik Taipei bersempena dengan Computex 2024.
Ia menonjolkan tiga produk baharu iaitu peralatan perlindungan data ActiveProtect; platform storan serta pengurusan data skala kecil siri GS dan kamera awan yang dipacu Synology C2.
Siri GS ialah platform storan serta pengurusan data skala keluaran terbaharu Synology, dikuasakan oleh seni bina yang sangat cekap dan berskala.
“Kluster GS sehingga 96 nod akan menyokong protokol fail dan objek, menawarkan kapasiti storan mentah sehingga 20 petabait (PB) termasuk sehingga 150,000 sambungan serentak untuk Synology Drive and Office bagi menyokong peningkatan permintaan storan dan produktiviti,” kata syarikat itu melalui satu kenyataan.
Pengunaan Gen AI untuk pengurusan data
Synology juga mempamerkan kemas kini penting kepada penyelesaian sedia adanya yang merangkumi Synology AI Console untuk pengurusan terpusat dengan integrasi Office Suite GenAI, Synology Tiering untuk pengoptimum storan data panas dan data sejuk dalam penggunaan yang besar.
Synology AI Console akan menambah penyelesaian penyepaduan AI generatif dengan sokongan awal membabitkan antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) daripada OpenAI, Microsoft Azure AI dan Google Gemini.
Menurut Sin, banyak industri kini telah mengintegrasikan AI ke dalam operasi mereka dan ini menjana banyak data dalam industri, oleh itu, mereka memerlukan storan atau sistem pengurusan data yang lebih luas.
“Inilah sebabnya kami mula mengeluarkan penyelesaian storan data bagi memenuhi keperluan pasaran.
“Di Malaysia, kami dapat melihat banyak pusat data sedang diwujudkan dan kami sedang bekerjasama dengan mereka dalam pelbagai projek untuk menyediakan penyelesaian penyimpanan data serta penyelesaian sandaran kami,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial