AM

Penuntut M'sia Di Jepun Perlu Tanam Minat Jadi Pemimpin, Bantu Pembangunan Negara - Johari

07/06/2024 02:46 PM

Daripada Siti Baaqiah Mamat

TOKYO, 5 Jun (Bernama) -- Belia Malaysia yang melanjutkan pengajian di Jepun perlu menanam semangat untuk kembali ke tanah air dan menjadi pemimpin baharu yang mampu membawa perubahan kepada negara. 

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata ilmu yang ditimba di negara maju dan disifatkan sebagai gergasi ekonomi ini perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi pembangunan negara serta rakyat.  

“Semua data menunjukkan sekarang ini adalah abad Asia dengan ekonomi beralih ke Asia dan kita mesti mengambil peluang ini kerana anda adalah intan terpilih untuk belajar daripada kuasa besar ekonomi seperti Jepun.

“Tanam semangat jitu, yakinkan diri, perkemas diri dan silalah kembali ke tanah air untuk jadi pemimpin dalam bidang tertentu, tidak semestinya politik dan bukan kembali untuk menjadi ‘hamba’ kepada syarikat tertentu,” katanya semasa berucap pada majlis makan malam bersama penuntut Malaysia di Jepun yang berlangsung di Hotel New Otani di sini malam ini. 

Beliau berkata dalam usaha menjadi pemimpin, golongan itu perlu menanam impian, mempunyai keberanian dan menggunakan ilmu untuk memastikan perkara tersebut menjadi realiti. 

Terdahulu, Johari dan delegasi Parlimen Malaysia diraikan pada majlis makan tengah hari anjuran Liga Persahabatan Ahli Parlimen Jepun-Malaysia di Hotel Capitol Tokyu, Chiyoda City.

Selepas itu, Johari diberi taklimat oleh kumpulan penyelidik dari Institut Penyelidikan Keamanan dan Pembangunan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) Ogata Sadako. 

Pada sebelah petang pula, beliau mendengar taklimat pemimpin perniagaan dari Dewan Perniagaan dan Perindustrian Jepun (JCCI) mengenai kerjasama antara syarikat Malaysia dan Jepun.

Taklimat itu turut dihadiri Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Jepun Zuaziezie Zulkefli dan Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Jepun Izran Abdullah. 


Johari, yang mengetuai delegasi Parlimen Malaysia, dalam rangka lawatan rasmi lima hari ke Negara Matahari Terbit hingga Jumaat ini atas undangan Speaker Dewan Perwakilan Jepun Fukushiro Nukaga. 

Turut menyertai delegasi itu adalah Pengerusi Kumpulan Persahabatan Parlimen Asia Timur merangkap Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa, Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan, Vivian Wong Shir Yee (Sandakan) dan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan
Pembangunan Sumber Manusia, Shamshulkahar Mohd Deli (Jempol).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan