AM

Pameran Hang Tuah Pamer Artifak, Manuskrip Zaman Kesultanan Melayu Melaka

05/06/2024 09:21 PM

MELAKA, 5 Jun (Bernama) -- Pameran Hang Tuah yang berlangsung pada 10 Jun hingga 7 Julai ini bakal mengetengahkan kira-kira 20 artifak dan 20 manuskrip dipercayai mempunyai kaitan dengan pahlawan melayu dan zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Ketua Penyelidik Kajian Penyelidikan Mengukuh Kewujudan Hang Tuah Prof Datuk Dr Mohd Taib Dora berkata pada pameran yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu terdapat beberapa galeri utama antaranya Galeri Zaman Keagungan Kesultanan Melayu Melaka.

"Sementara itu, galeri mengenai Hang Tuah dibahagikan kepada beberapa seksyen termasuk berkaitan asal usul dan riwayat hidup, karakter atau ciri-ciri khas Hang Tuah, filem berkisar tentang Hang Tuah dan manuskrip hikayat Hang Tuah dalam pelbagai bahasa.

"Pelbagai pengisian menarik juga disusun sempena pameran itu seperti replika meriam terbesar zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu 'Peca de Malacca' yang ditemukan di Muzium Militari Lisbon, Portugal," katanya pada sidang media di Dewan Perbadanan Muzim Melaka (Perzim) di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan negeri Datuk Zaidi Attan.

Mohd Taib berkata pameran berkenaan turut mengetengahkan replika sebahagian kapal Mendam Berahi yang memaparkan pelayaran Hang Tuah di seluruh dunia seperti ke Istanbul di Turkiye, Pattani di Thailand, Jepun dan sebagainya.

Sempena berlangsungnya pameran selama sebulan itu juga beliau berkata simposium bagi pelajar dan guru sekolah menengah, pelajar institusi pengajian tinggi turut dianjurkan selain seminar antarabangsa yang menampilkan ramai tokoh dari luar negara termasuk dari United Kingdom, Belanda, Indonesia, Singapura dan Brunei.

"Hasil kajian yang dijalankan sejak Ogos 2023 membawa kepada pameran untuk membentangkan dapatan kajian serta bukti kewujudan Hang Tuah seperti artifak yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Laksamana Hang Tuah.

"Antaranya keris sembilan lok yang berada di muzium Okinawa, Jepun termasuk dokumen Rekidai Hoan iaitu catatan kerajaan Ryukyu," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan