KOTA BHARU, 5 Jun (Bernama) -- Golongan peniaga dalam kalangan B40 tidak perlu bimbang untuk tampil mendaftarkan perniagaan masing-masing kerana mereka tetap mendapat bantuan kerajaan yang lain, kata Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Ahmad Sabki Yusof.
Beliau berkata masih ada peniaga yang tidak berdaftar berikutan bimbang akan terkecuali daripada menerima bantuan kerajaan dan dikenakan cukai.
Bantuan kerajaan katanya, seperti Sumbangan Tunai Rahmah tidak tertakluk sama ada individu itu memiliki perniagaan atau tidak.
"Mitos atau kepercayaan ini perlu diperbetul supaya usahawan B40 tampil mendaftarkan perniagaan mereka dan tidak perlu bimbang dengan kelayakan untuk mendapatkan bantuan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Bimbingan Usahawan 2024 (PBU24) Peringkat Negeri Kelantan di sini hari ini.
Ahmad Sabki berkata sejumlah 9.23 juta perniagaan, 1.5 juta pemerbadanan syarikat dan 38,673 Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) direkodkan mendaftar dengan SSM setakat 30 April lepas.
Bagaimanapun katanya, daripada jumlah itu, hanya 1.64 juta perniagaan, 674,687 pemerbadanan syarikat dan 34,865 PLT didapati aktif menjalankan perniagaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial