JOHOR BAHRU, 5 Jun (Bernama) -- Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertekad menarik lebih ramai golongan muda untuk menyertai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam usaha melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang itu.
Dekan FKM UTM Prof Madya Dr Zaini Ahmad berkata bagi mencapai hasrat itu, pelbagai program diadakan termasuk mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) baharu sempena Mechanical Open Day and Exhibition (MODE) 2024 yang dianjurkan selama dua hari bermula semalam.
“FKM menempa sejarah MBOR menerusi ‘Syarahan Kejuruteraan Mekanikal Tanpa Henti Secara Langsung Paling Lama’ apabila seramai 60 pensyarah menyampaikan syarahan secara berganti-ganti selama 24 jam bermula 9 pagi semalam dan berakhir 9 pagi hari ini.
“Setakat ini, syarahan yang disiarkan secara langsung itu ditonton seramai lebih 1,000 penonton dari pelbagai negara selain Malaysia antaranya Amerika Syarikat, United Kingdom, Arab Saudi, Jerman, Mesir, Nigeria, Thailand dan Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan sijil MBOR oleh Konsultan Kanan The MBOR Sdn Bhd Siti Hajar Johor kepada Zaini yang mewakili fakulti itu di UTM di sini hari ini.
Menurut Zaini usaha itu antara strategi UTM untuk menarik lebih ramai golongan muda memilih bidang kejuruteraan sebagai pilihan kerjaya di masa depan.
“Kita sedia maklum negara berdepan kekurangan jurutera tempatan, jadi kita berharap dengan adanya rekod MBOR ini lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tertarik dengan bidang profesional ini,” katanya.
Beliau berkata sempena MODE 2024 fakulti itu turut menandatangani lima perjanjian kerjasama bersama Institut Teknologi Bandung, Universitas Jenderal Achmad Yani, Jeonbuk National University serta dua jenama tempatan iaitu Haos Ek? dan 3D Gens Sdn Bhd.
“Hubungan rentas industri, agensi dan komuniti ini dapat mengukuhkan jenama FKM UTM bukan sahaja dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program ‘Syarahan Kejuruteraan Mekanikal Tanpa Henti Secara Langsung Paling Lama’ Dr Wong Keng Yinn berkata pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran jumlah tontonan sebaliknya mengutamakan kualiti idea yang disampaikan pensyarah dan pemahaman penonton.
“Walaupun syarahan ini dibuat selama 24 jam tanpa henti tetapi kerana perbezaan zon masa negara ini dengan benua lain menyebabkan sesi syarahan pada 2 hingga 4 pagi tetap ditonton,” katanya.
Pada 2 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata Malaysia mengalami kekurangan seramai 30,000 jurutera untuk mendepani cabaran teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial